Mamat Khalid Terkilan Dengan Zizan Razak Dan Emma Maembong

PETALING JAYA: Pengarah filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, Mamat Khalid tidak berhasrat mengadakan promosi jelajah filem ke-14 arahannya itu yang akan berada di pawagam pada 5 Mac ini kerana terkilan dengan dua bintang utamanya, Zizan Razak dan Emma Maembong yang tidak hadir pada sesi tayangan semalam.

 

Menurut Mamat, produksi terpaksa menganjak tarikh tayangan kepada semalam kerana mengikut jadual dua pelakon itu.

 

Namun tindakan itu ternyata sia-sia apabila batang hidung mereka langsung tidak kelihatan.

 

“Saya baru mengetahui mereka tidak dapat hadir beberapa jam sebelum tayangan. Saya tidak mahu mengguris hati pihak di sana kerana mereka memberikan komitmen yang baik sewaktu penggambaran dua tahun lalu. Bagaimanapun saya agak terkilan apabila mereka tidak hadir pada malam ini.

 

“Memandangkan mereka tidak hadir hari ini (semalam), saya tidak akan memanggil mereka lagi untuk promosi ataupun mengadakan jelajah promosi untuk filem ini.

 

“Fokus saya kini hanyalah untuk ke radio dan stesen televisyen saja dan biarlah filem ini berdiri dengan sendirinya.

 

“Kalau mereka berdua ada masalah peribadi dan enggan bersemuka pada tayangan malam ini, beritahu saja saya tidak kisah. Atau mungkin mereka malu dengan hasil filem ini pun, maklumkan juga kerana saya terima apa jua alasan.

 

“Tapi mereka senyap begitu saja, di mana sikap profesional mereka? Mungkin sebagai pengarah, saya tidak penting dan tidak berada langsung dalam kamus hidup mereka,” katanya kecewa.

 

Selain Zizan Razak dan Emma Maembong, filem terbitan Ariabella Sdn Bhd itu turut dibintangi Usop Wilcha dan Saiful Apek.

 

Sebelum ini, Zizan pernah menimbulkan masalah apabila tidak hadir ke sesi rakaman suara (dubbing), akibatnya produksi terpaksa memasukkan suara individu lain bagi menggantikan Zizan.

 

Oleh itu kata Mamat, mereka yang menonton filem itu nanti akan mengesan slanga pertuturan Zizan yang berbeza.

 

“Sebenarnya sebagai pengarah, saya yang harus dipersalahkan kerana tidak menjaga konti. Tapi kekurangan itu terjadi kerana kita menghadapi masalah apabila Zizan tidak hadir pada sesi ‘dubbing’, jadi kami terpaksa menggunakan suara orang lain.

 

“Sebab itu mereka yang menonton filem ini pasti tertanya kenapa Zizan berbual dalam slanga berbeza-beza,” katanya.

 

Mamat menyifatkan ketidakhadiran Zizan dan Emma ibarat sebuah majlis perkahwinan yang tiada mempelai tetapi majlis tetap juga perlu berlangsung kerana tetamu sudah diundang.

 

Ketiadaan mereka cukup menyedihkan dirinya dan Mamat sempat memberikan bayangan serik untuk bekerjasama dengan dua pelakon popular itu. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.