Ketua Umno Bahagian Berhimpun Sokong Presiden, 8 Mac Ini

Kuala Lumpur – Kira-kira 170 ketua Umno Bahagian di seluruh negara akan bertemu pada 8 Mac depan untuk menyatakan solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

 

Ketua Umno Bahagian Cheras itu berkata, pertemuan itu bertujuan membuktikan kepada pihak pembangkang dan pihak luar mereka sentiasa menyokong presiden Umno yang juga perdana menteri itu.

 

“Kami mahu menunjukkan kepada dunia Najib mempunyai sokongan akar umbi yang kuat…jadi pembangkang serta pihak luar perlu berhenti menyerang pemimpin Barisan Nasional,” katanya seperti dilaporkan portal Mstar Online.

 

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan perang saraf itu. Kita perlu menanganinya segera dan kami tidak akan duduk diam dengan hanya melihat mereka memainkan agenda jahat ini.”

 

Najib akhir-akhir ini diserang dengan pelbagai isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Di antara pengkritik lantang kepada Najib ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Syed Ali memberitahu Mstar, setakat ini kira-kira 170 daripada 191 Ketua Umno Bahagian sudah mengesahkan kehadiran mereka.

 

“Kami mahu menunjukkan kita berdiri teguh di belakang perdana menteri dan menolak pandangan wujud perpecahan dalam Umno,” katanya yang mengatakan idea itu dimulakan sekumpulan ketua bahagian.

 

Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin menolak khabar angin perjumpaan tersebut bertujuan mengatasi ancaman dalaman parti terhadap Najib.

 

“Kami mahu mendengar perdana menteri sendiri menjelaskan beberapa isu berbangkit. Kami ingin mendengar penjelasan beliau dalam banyak isu seperti 1MDB, ekonomi dan sebagainya.

 

“Perdana menteri berjanji untuk berjumpa semua ketua bahagian dua kali setahun, jadi ini adalah sebahagian daripada idea itu,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.