Kes Wanita Terjun Kereta, Polis Tahan Bekas Suami

ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki hari ini berhubung kes wanita parah dilanggar lari setelah terjun dari kereta bekas suaminya yang sedang bergerak di Bukit Pinang semalam.

 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Asam Jawa Pulai Baling kira-kira pukul 4 pagi.

 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

 

Dalam kejadian semalam seorang wanita cedera parah akibat tindakan nekadnya terjun dari kereta bekas suaminya yang sedang bergerak di Simpang Pinang Jaya, Bukit Pinang di sini.

 

Mangsa, Rosniza Fadzil, 30, kemudian dilanggar lari oleh sebuah kereta lain yang melalui jalan berkenaan kira-kira lima minit selepas terjun daripada kereta jenis Proton Wira milik bekas suaminya.

 

Difahamkan, Rosniza yang bekerja sebagai tukang masak di Taman Siswa, Jitra dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Lengkuas ke tempat kerja sebelum motosikal Yamaha Ego yang ditungganginya dikatakan dihimpit oleh kereta dipercayai dipandu bekas suaminya itu.

 

Mangsa dipaksa masuk ke dalam kereta itu oleh bekas suaminya dan ketika tiba di Simpang Pinang Jaya, Bukit Pinang di sini, dia bertindak terjun kerana mahu melarikan diri.

 

Akibat kejadian tersebut, mangsa yang mengalami pendarahan pada kepala dan patah kaki kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.