Jumlah Gelandangan Di KL Meningkat

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata selepas pengumuman dibuat oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahmad Phesal Talib September tahun lalu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan bangunan untuk gelandangan, jumlah mereka yang tinggal di tepi jalan semakin meningkat.

 

“Datuk Bandar mengkaji semula keperluan untuk membina tempat perlindungan bagi gelandangan dan waktu itu jumlah mereka sekitar 600 orang tetapi selepas berita berkenaan tersebar, kajian DBKL mendapati terdapat 1,500 hingga 2,000 gelandangan di Kuala Lumpur, setiap hari,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Namun begitu, bangunan yang dijanjikan siap akhir tahun lalu, masih belum siap sepenuhnya.

 

Lim mengetengahkan isu ini dalam mesyuarat bersama Datuk Bandar dan Ahli Parlimen Kuala Lumpur di bangunan DBKL, hari ini.

 

“Kerajaan berjanji untuk menyiapkan bangunan berkenaan tahun lalu untuk membantu menempatkan gelandangan, di mana ia turut menempatkan rumah kedai dan dua hotel, namum sehingga sekarang kami masih belum mendapat apa-apa berita.

 

“Datuk Bandar beritahu rancangan itu masih dijalankan dan masih dalam proses mendapatkan dan membina bangunan,” katanya.

 

Sementara itu, Ahmad Phesal yang ditemui selepas mesyuarat berkata, projek bermula sejak sebulan lalu dan dijangka siap dalam masa setahun setengah.

 

Katanya lagi, dua bangunan itu terletak di hadapan Hospital Kuala Lumpur dan satu bangunan lagi di Jalan Chow Kit di mana ia akan menempatkan komuniti gelandangan, untuk lelaki dan wanita.

 

“Untuk masa ini, kami hanya meletakkan kabin di Medan Tuanku sementara menunggu dua bangunan itu siap.

 

“Dari pemerhatian saya, terdapat pertambahan jumlah gelandangan di mana ada juga mereka yang mampu bekerja, mengambil kesempatan dengan meminta makanan yang disediakan untuk gelandangan,” kata Ahmed Phesal lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.