BN Tidak Tanding DUN Chempaka Langkah Tepat Bantu Mangsa Banjir – Tok Pa

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka merupakan langkah tepat ketika kerajaan kini memfokus usaha membantu mangsa banjir di Kelantan.

 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usaha membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir di negeri itu juga dilihat dapat menyumbang kepada perpaduan dalam kalangan rakyat.

 

“Keputusan secara umumnya diterima dengan baik… pada parti, mungkin akan ada yang tidak puas hati tapi itu hanya perkara kecil dan kita mampu tangani”, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan ‘Gelombang Kedua Dasar Pandang ke Timur (LEP 2.0)’ di sini, pada Khamis.

 

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata keputusan itu juga membolehkan BN bersiap sedia mengumpul kekuatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN tidak akan bertanding pada PRK DUN Chempaka untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan, selain langkah itu bertujuan memastikan perpaduan ummah dapat diperkukuhkan.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK DUN Chempaka pada 22 Mac depan manakala penamaan calon pada 10 Mac.

 

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya yang merupakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lalu.

 

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek menjelaskan keutamaan kerajaan BN ketika ini ialah kepada rakyat Kelantan dan bukan kepada kerusi DUN Chempaka.

 

Beliau berkata keputusan BN untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Chempaka adalah satu keputusan yang didokong bersama semua pucuk pimpinan parti.

 

“Rakyat lebih penting ketika ini dan bukan wakil rakyat, rakyat adalah keutamaan dan bukan kerusi wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media orkestra RTM@Java Jazz Festival di sini.

 

Katanya keputusan yang diambil pucuk pimpinan adalah wajar dan patut dilihat secara positif oleh seluruh rakyat dalam memenuhi tuntutan mengeratkan perpaduan.

 

Ahmad Shabery, yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, berkata tumpuan utama adalah bagaimana kerajaan membantu membangunkan kembali Kelantan yang terjejas teruk akibat bencana banjir hujung tahun lepas.

 

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pihaknya menghormati keputusan untuk tidak bertanding kerana ia sejajar dengan usaha bantuan pasca banjir di Kelantan.

 

“Jika BN menghantar calon maka jenteranya terpaksa dibahagi dua iaitu fokus kepada pasca banjir dan satu lagi fokus kepada PRK,” katanya.

 

Katanya lebih baik kedua-dua jentera tersebut digabungkan menjadi satu bagi membantu mangsa banjir yang masih memerlukan perhatian dan bantuan ketika ini.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.