AMK Serang Hadi Awang

Georgetown – Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKP) menuntut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi kenyataan rasmi berhubung isu ‘Kerajaan Perpaduan PAS-UMNO’ yang didakwanya menjadi tanda tanya.

 

Timbalan ketua AMKPP, Khairil Kamarudin mendakwa Abdul Hadi sering berdolak-dalik dalam memberikan penjelasan sebenar berhubung isu itu sepatutnya memberi penjelasan.

 

Beliau menempelak Presiden PAS supaya “Jika terus komited bersama Pakatan Rakyat, maka berikan sepenuh komitmen kepada dasar-dasar yang telah dipersetujui bersama PKR dan DAP.”

 

Katanya, jika Abdul Hadi mahu mencuba nasib bekerjasama dengan UMNO melalui kerajaan perpaduan, AMKPP mendesak agar ia dilaksanakan sesegera mungkin.

 

“Ia bagi membolehkan Pakatan Rakyat meneruskan agenda perjuangan untuk menuntut keadilan, memulihkan kembali ekonomi negara seterusnya membela nasib rakyat Malaysia,” katanya.

 

Beliau berkata Abdul Hadi seharusnya sedar akan kegagalan kerajaan perpaduan pada tahun 1973 hingga 1977.

 

Khairil berkata bukan setakat itu sahaja malah Abdul Hadi juga perlu sedar akan kegagalannya mempertahankan Terengganu di bawah kepimpinan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 ketika menjawat jawatan sebagai menteri besar.

 

“Tidak lupa juga kegagalan mempertahankan Kedah pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu serta kegagalan beliau menghalang kewujudan pertandingan tiga penjuru seperti di Dewan Undangan Sungai Acheh.

 

Kesemua peristiwa malang ini berlaku pada era Abdul Hadi sebagai presiden PAS,” katanya.

 

Khairil berkata, sekiranya masalah kesihatan dijadikan faktor dan alasan, maka seharusnya pemimpin nombor satu PAS itu berundur dan memberi ruang kepada yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.