1 Maut, 1 Parah Dihempap Palang Besi Di Tapak Projek MRT

Kuala Lumpur – Seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden kemalangan di kawasan V4 Portal Semantan projek Mass Rapid Transit (MRT) Lembah Klang jajaran Sungai Buloh-Kajang di sini hari ini.

 

Dalam kejadian tersebut, tiga warga Bangladesh disahkan terlibat dalam insiden berkenaan, dan seorang daripada mereka, Rijaul Abdul Goni, 40, maut di tempat kejadian.

 

Seorang lagi rakannya, Shanaullah, 37, tercedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur manakala Rozul Karim, tidak mengalami sebarang kecederaan.

maut MRT

Kejadian berlaku pada jam 1.20 tengah hari itu, ketika pekerja-pekerja terbabit sedang memasang kerangka besi tetulang apabila ikatan antara besi dan kerangka, terputus.

 

Besi-besi tersebut kemudiannya terjatuh dan menimpa pekerja-pekerja tersebut.

 
Pihak polis dan Jabatan Forensik tiba di tempat kejadian pada pukul 3 petang dan siasatan telah pun dimulakan untuk menentukan punca kejadian.

 

Pengarah Komunikasi Strategik dan Komunikasi Korporat MRT Corp., Amir Mahmood Razak berkata, jenazah Allahyarham Rijaul telah dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat.

 

“Ini akan menjelaskan punca kematiannya dan kami akan mengumumkan maklumat ini kelak,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Semua kerja di kawasan V4 Portal Semantan telah ditangguhkan sehingga siasatan selesai.

 

Amir berkata MRT Corp. kesal dengan kejadian tersebut dan akan mengumumkan maklumat lanjut sekali lagi hari ini.

 

Ia merupakan kejadian kedua melibatkan kemalangan maut di kawasan pembinaan MRT selepas insiden yang berlaku di tapak Projek MRT Pakej V1 dalam kawasan bekas tapak Institut Penyelidikan Getah Malaysia dekat Kota Damansara pada 18 Ogos 2014.

 

Dalam kejadian tersebut, sewaktu kerja-kerja pembinaan dijalankan, satu blok konkrit landasan terlepas daripada slot dan jatuh menyebabkan tiga pekerja warga Bangladesh, Mohammad Alauddin Mollik, Mohammed Faruk Khan dan Mohammad Elahi Hossain terbunuh.

 

Pada 19 Ogos 2014, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid mengumumkan peletakan jawatan serta-merta susulan kejadian berkenaan.

 

Menurut Azhar, keputusan itu dibuat atas rasa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan beliau turut menyuarakan rasa sedihnya berhubung kejadian itu.

 

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail mengesahkan kejadian berkenaan.

 

Jelas Azizan, siasatan ke atas insiden berkenaan sedang dijalankan dan pihaknya akan meminta penjelasan daripada MRT Corp. bagaimana kejadian berkenaan boleh berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.