Soal kahwin, Hafiz tidak mahu terburu-buru

KUALA LUMPUR: Pelatun suara ‘Bahagiamu Deritaku’, Hafiz Suip kini mengakui dalam proses mengenali hati budi seseorang, malah dia juga cukup berahsia mengenai identiti gadis tersebut.

Hafiz atau nama sebenarnya  Mohd Hafiz Mohd Suip ketika ditemui di majlis Doa Kesyukurannya pada malam Rabu memberitahu, dia telah memperkenalkan gadis tersebut kepada kedua ibu bapanya.

“Sebenarnya saya dah kenal dia lama lebih dari empat tahun dan dia merupakan orang yang paling rapat dengan saya.

“Saya jenis yang bila saya berkawan tak kira dengan sesiapa pun saya akan bawa kawan-kawan jumpa ibu bapa… Begitu juga dengan dia, bukan apa hanya untuk memberitahu mereka dengan siapa saya berkawan,” katanya.

Walaubagaimanapun, penyanyi berusia 24 tahun ini enggan mengulas lanjut mengenai gadis tersebut.

“Cukuplah setakat ini, bukan saya tidak mahu berkongsi cuma saya rasa saya perlu menghormati ‘privasi’ dia lagi satu sebab ialah saya menghormati kedua ibu bapanya.

“Lagipun kami masih lagi dalam proses mengenal hati budi dan dia pula masih lagi belajar jadi kalau boleh saya tak mahu ganggu dia,” katanya.

Tambah Hafiz, dia tidak mahu terburu-buru untuk memikirkan soal perkahwinan kerana usia mereka masih terlalu muda.

“Buat masa ini saya masih belum fikir soal kahwin… Masing-masing ada komitmen sendiri, banyak lagi yang perlu saya capai sebelum boleh fikir soal perkahwinan.

“Cuma saya dah letak sasaran untuk berkahwin… Kalau boleh saya mahu mendirikan rumah tangga sebelum berumur 30 tahun,” tambahnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai azam tahun baru, penyanyi yang berasal dari Sarawak ini berhasrat untuk melebarkan lagi sayapnya dalam industri seni.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencapaian saya setakat ini dan azam saya bagi tahun 2014 adalah untuk membawa nama industri muzik tempatan menembusi pasaran luar negara.

“Impian saya nak jadi macam Dato’ Siti dan juga Shila Amzah, saya mahu membanggakan industri seni kita seperti yang mereka lakukan. Itu adalah satu perkara yang mengharumkan nama Malaysia.

“Percubaan pertama saya dengan lagu duet bersama Dato’ Rossa melalui single ‘Salahkah’ dan saya akui single ini banyak membantu saya.

“Saya rasa gembira kerana sambutan di pasaran Indonesia agak menggalakkan dan saya harap selepas ini lebih banyak peluang untuk saya kembangkan muzik di persada antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.