Yang di-Pertuan Agong Berkenan Hadir Majlis Santapan Beradat Kastam

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke majlis santapan beradat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini malam ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 9.15 malam disambut Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, Subromaniam ketika berucap pada majlis santapan beradat sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 Tahun 2018, berkata JKDM pada tahun ini menyasarkan hasil kutipan cukai RM60.96 bilion berbanding RM58.82 bilion pada tahun sebelumnya.

“Kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada tahun lepas menyumbang sebanyak RM44.03 bilion atau 75 peratus daripada hasil kutipan JKDM,” katanya.

Beliau berkata sistem kutipan cukai efisien dan teratur mampu menjana hasil yang tinggi dan stabil untuk digunakan dalam pembangunan sosioekonomi negara. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.