Takut, Lebih 100 Murid Tak Hadir Sekolah

IPOH – Sekurang-kurangnya lebih 100 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Tsung Wah, Kuala Kangsar tidak hadir ke sekolah, semalam kerana dipercayai takut dijangkiti influenza A (H1N1).

Situasi itu berlaku berikutan dua murid tahun lima sekolah terbabit diminta berehat di rumah selepas dipercayai mengalami simptom awal influenza A sejak 19 Januari lepas.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mah Hang Soon ketika dihubungi mengesahkan, seramai 102 murid sekolah itu tidak mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa.

Menurutnya, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding 26 murid yang tidak hadir, kelmarin.

“Daripada pemeriksaan dibuat pengurusan sekolah, sebahagian besar daripada mereka mengakui takut dijangkiti menyebabkan tidak mahu datang ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada pengesahan yang tepat sama ada dua murid terbabit benar-benar dijangkiti influenza A.

“Jabatan Kesihatan negeri telah membuat pemeriksaan dan kita masih menunggu keputusan ujian makmal yang dilakukan kepada dua murid terbabit. Mereka tidak memerlukan sebarang rawatan di hospital hanya diminta berehat di rumah.

“Buat masa ini, disahkan tiada wabak baru membabitkan murid di sekolah itu,” katanya.

Hang Soon berkata, wabak influenza A tidaklah berbahaya seperti wabak lain, hanya melibatkan demam dan selesema biasa, ia boleh dikawal melalui pengambilan ubat serta rehat yang cukup.

“Ibu bapa tidak perlu khuatir dengan situasi ini kerana ia hanya menimbulkan suasana panik dalam kalangan murid hingga takut ke sekolah. Keadaan sekarang adalah terkawal dan kita minta sesi persekolahan pada Isnin nanti berjalan seperti biasa,” katanya.

Berikutan situasi itu, satu sesi taklimat kesihatan bersama warga sekolah terbabit diadakan, semalam dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengurangkan risiko ketakutan dalam kalangan murid.

Sekolah berkenaan kini mempunyai 582 murid dan mereka yang tidak hadir merupakan 17 murid daripada tahun 1, 19 (2), 22 (3), 11 (4), 27 (5) dan enam murid daripada tahun 6.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.