Pensyarah Tegur Syed Saddiq Kerana Sombong Dan Takbur

Seorang pensyarah telah membidas dan menegur Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana bersikap takbur dengan menyatakan Pakatan Harapan akan menang di Perak dan Kedah selain Selangor dan Pulau Pinang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Sikap berkenaan disifatkan oleh Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff sebagai sombong dan seolah-olah mahu mendahului ketetapan Allah.

“Sombong dan takbur Syed Saddiq ini seolah-olah mahu mendahului ketetapan Allah pula sedangkan di dalam al-Qur’an sendiri, contohnya di dalam Surah al-Nahl: 23, ada disebutkan betapa “sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur”.

“Apalah gunanya kemenangan itu, wahai Syed Saddiq, jika ia adalah ibarat “menang sorak kampung tergadai”? Tidakkah anda, selaku Ketua Pemuda PPBM, tahu bahawa di dalam projeksi DAP Perak, PPBM hanya akan menang di tiga kerusi DUN sahaja di Perak?,” demikian soal Dr. Kamarul dalam tulisannya di Facebook.

Syed Saddiq dalam satu majlis Sidang Media Pelancaran Pemuda Pakatan Harapan Negeri Perak, pada Khamis lalu, yakin bahawa Pakatan Harapan akan menawan Perak dan Kedah manakala di Selangor dan Pulau Pinang pula diyakini akan dikekalkan.

Beliau yakin jika kejayaan datang di Perak maka kejayaan tersebut akan sampai ke seluruh Malaysia dan Pakatan Harapan akan berjaya menawan Putrajaya dalam PRU-14 kerana uniknya Perak ini ia berbilang bangsa dan berbilang agama.

Menurut Dr. Kamarul, parti yang berkuasa di dalam Pakatan Harapan Negeri Perak adalah pemimpin DAP, bukannya pemimpin PPBM atau Parti Amanah Negara (PAN).

“Dr Muhaimin Sulam, selaku Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak dulu, mungkin boleh ceritakan betapa Pakatan Rakyat Negeri Perak dulu beroperasi dari Pejabat PAS Perak, di mana Setiausahanya juga adalah pemimpin PAS Perak, Dr Khairudin Abdul Malek.

“Bandingkan pula keadaannya sekarang di mana Pakatan Harapan Negeri Perak kini beroperasi dari Pejabat DAP Perak dan di mana Setiausahanya juga adalah pemimpin DAP Perak yang turut merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, iaitu V Sivakumar,” kata Dr. Kamarul.

Justeru janganlah jadi seperti peribahasa `kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.