Peniaga Online Ditembak Perompak

RANTAU PANJANG – Seorang peniaga atas talian yang aktif live Facebook ditembak di betis kiri di pejabatnya di Banggol Kulim, malam tadi.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika kejadian mangsa, Mohd Irfan Abdullah, 26, berseorangan di pejabat tersebut.

Katanya, polis tidak menolak rompakan itu dirancang lebih awal, berdasarkan kepada pergerakan penjenayah melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas menerima panggilan pada jam 11. 33 malam, kita bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa berada di tingkat atas premis dan terkunci dari luar pejabat, dipercayai dilakukan penjenayah terbabit.

“Kesan tembakan menyebabkan mangsa berlumuran darah dan berada dalam keadaan lemah,” katanya, lapor Sinar

Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, pihak polis turut menemui peluru 9 mm di tempat kejadian.

Katanya, menerusi rakaman CCTV mendapati, tiga lelaki bertopeng menaiki kereta kancil berwarna putih memasuki premis tersebut sebelum melepaskan tembakan.

Menurutnya, pihak polis percaya mangsa ditembak selepas diugut.

Mangsa katanya, mengalami kerugian apabila barang kemas dan wang berjumlah RM 158,000 dirompak penjenayah terbabit.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk rawatan lanjut.

“Kita memburu ketiga-tiga suspek ini namun tidak menolak kemungkinan besar mereka lari ke sempadan kerana jarak tempat kejadian terlalu dekat,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.