Najib Sempurnakan Majlis Perlepasan Misi Bantuan Ke Cox’s Bazar

PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan lawatan delegasi khas ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Misi berkenaan disertai 57 wakil daripada Pejabat Perdana Menteri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk tujuh wakil media daripada pelbagai agensi media tempatan.

Ia diketuai Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Tan Sri Michelle Yeoh.

Misi berkenaan akan menilai impak bantuan yang diberikan sehingga kini, selain memastikan Hospital Medan Malaysia dilengkapi sumber mencukupi bagi menangani keadaan yang melanda pelarian Rohingya.

Ia turut diadakan selaras dengan komitmen kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan memberi bantuan dalam menyediakan peralatan dan bekalan perubatan di hospital itu.

Sementara itu, Najib berkata kedua-dua negara Arab itu bersama-sama Malaysia sebagai menzahirkan keprihatinan sesama Islam.

“Memang kedua-dua negara Arab dekat dengan kita dan kita telah cadangkan kepada mereka supaya menunjukkan keprihatinan bersama Malaysia.

“Ini menggambarkan solidariti Islam dan alhamdulillah mereka respons dengan begitu positif, ” katanya.

Dalam amanat ringkasnya, perdana menteri berkata Malaysia akan terus komited membantu dan membela nasib masyarakat Rohingya.

Delegasi ini akan mengedarkan barangan bantuan seperti peralatan perubatan, makanan serta keperluan asas kepada pelarian Rohingya.

Malaysia adalah negara pertama menubuhkan hospital medan dengan kelengkapan terkini berkapasiti maksimum 100 katil dan dikendalikan oleh kakitangan perubatan terlatih.

Walaupun pada awalnya usaha ini dianggap sebagai langkah sementara untuk meringankan penderitaan pelarian Rohingya, kekurangan penyelesaian jangka panjang dan keadaan cuaca melampau telah membuatkan Malaysia mengambil keputusan untuk memperluas bantuan kemanusiaannya.

Sehingga kini, pasukan perubatan Malaysia di hospital medan telah merawat lebih 3,768 pesakit.

Malaysia juga telah mengerahkan aset hospital medan dan peralatan perubatan bernilai RM18 juta dengan kos operasi keseluruhan sebanyak RM3.5 juta selama tiga bulan.

Turut hadir pada majlis pelepasan ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Darat Tan Sri Zulkiple Kassim. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.