Idayu Segan Ajar Penyanyi Berpengalaman

KUALA LUMPUR: Penyanyi Idayu terpaksa menghampakan permintaan rakan artis yang ingin mendapatkan khidmatnya sebagai guru vokal, kerana menganggap dirinya masih kerdil dalam bidang seni.

Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob, berkata komitmen terhadap 27 pelajar sedia ada selain tawaran nyanyian dan perniagaan kenderaan yang diusahakan, membataskan masanya untuk menerima penuntut baharu.

“Sudah lebih 10 tahun saya menjadi guru vokal dan alhamdulillah, rezeki masih saya masih ada walaupun semakin sibuk dengan undangan pentas. Jika tidak terikat dengan persembahan, saya berada di ruang pameran syarikat keluarga.

“Memang ada rakan artis yang meminta saya mengajar mereka, tetapi mampukah saya menggalas tanggungjawab itu? Mereka jauh lebih berpengalaman sebagai penyanyi, sedangkan saya masih tercari-cari tapak kukuh.

“Segan pula rasanya, tetapi itu bukan faktor utama menyebabkan saya memberi fokus untuk mengajar orang biasa. Bekerja dengan mereka yang di luar lapangan seni membolehkan saya bertolak ansur mengenai masa.

“Ada juga seorang dua penyanyi yang sudah lama bersama dengan saya. Cuma, untuk mengambil pelajar baharu dalam kalangan anak seni mungkin bukan sekarang,” kata lepasan Seni Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.

Juara Juara AF Megastar itu turut memaklumkan masanya banyak terisi di studio bagi penerbitan single baharu ciptaan rakan baiknya, Amylea.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.