Guru Buka Kelas Dirumah, Tunggu Surut Banjir

KUCHING – Fenomena banjir termenung yang memaksa Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kenyana di pedalaman Bahagian Mukah, ditutup untuk hari ke 10 hari ini, mendorong guru Tahun Enam sekolah itu mengadakan kelas bimbingan untuk murid terbabit di rumahnya.

Sumber berkata, berikutan penutupan yang agak lama itu, guru bimbang pembelajaran murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan jauh ketinggalan.

Justeru katanya, perbincangan diadakan oleh pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Mukah dengan pihak sekolah itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, hasil perbincangan itu pihaknya meminta ibu bapa memberi pelepasan secara bertulis untuk membenarkan empat calon UPSR itu dibawa ke rumah seorang guru di bandar Mukah.

“Kelas peningkatan UPSR itu kemudiannya dijalankan di sebuah rumah guru dengan semua kos makan minum, penginapan dan pengangkutan ditanggung oleh guru sekolah itu sendiri.

“Sehingga hari ini kelas masih diteruskan seperti biasa dan murid akan balik ke sekolah semula bersama guru sekiranya banjir sudah surut pada tahap selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pihak sekolah pagi ini, paras air di sekitar sekolah berkenaan sudah menunjukkan tanda penurunan.

Katanya, sekolah terbabit dijangka beroperasi semula minggu depan.

“Banjir termenung kali ini berlaku agak lama dan mungkin kedudukan sekolah itu yang berdekatan tempat pertemuan dua sungai menyebabkan paras air lambat turun.

“Lokasi sekolah itu agak jauh dari Mukah dan memerlukan masa perjalanan selama dua jam menaiki bot,” katanya, lapor BH

SK Kuala Kenyana di pedalaman daerah Balingian di Mukah adalah antara sekolah kurang murid (SKM) di negeri ini dengan mempunyai hanya 40 murid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.