Durian ‘Jajah’ 3 Kawasan

PARIT – Parlimen Parit, Dun Kampung Gajah dan Parlimen Kuala Kangsar dicadang sebagai lokasi terbaru pengeluaran durian.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, buat masa ini, pihaknya sudah bertemu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengemukakan cadangan itu.

Menurutnya, permintaan terhadap durian terutama durian klon seperti musang king sangat tinggi.

“Saya sudah berjumpa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengemukakan cadangan menjadikan Parlimen Parit, Kampung Gajah dan Kuala Kangsar sebagai tempat pengeluar baru durian selain lokasi sedia ada.

“Kawasan ini berpotensi kerana sudah ada dusun durian dan hanya perlu ditambah baik sahaja,” katanya semalam.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi kawasan Parlimen Parit.

Mohd Zaim yang juga Pengerusi Risda Fleet Sdn Bhd berkata, pihak kementerian juga diminta membantu pemilik dusun durian yang mengalami kerosakan pokok akibat banjir besar beberapa tahun lalu supaya dapat diganti dengan pokok baharu.

“Kita minta agar pemilik dusun ini diberi bantuan anak pokok durian klon supaya dapat menggantikan pokok yang telah mati.

“Bagi pokok yang boleh dirawat, pemilik dusun perlu mencari jalan untuk memulihkan kembali agar ia boleh mengeluarkan hasil,” katanya.

Beliau berkata, tanaman durian mampu menjana pendapatan baik pada masa kini terutama permintaan terhadap durian jenis klon semakin meningkat.

“Jika kita lihat, permintaan terhadap durian terutama durian klon amat tinggi dan turut dieksport ke luar negara.

“Saya sarankan agar pemilik dusun menjaga tanaman mereka dan menambah tanaman kepada durian klon memandangkan ia semakin mendapat permintaan menggalakkan,” katanya, lapor Sinar

Dalam majlis itu, seramai 25 pelajar cemerlang UPSR yang mendapat 6A menerima sumbangan daripada Risda Fleet sebagai menghargai kejayaan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.