Anak Babi Terlepas Di Jalan

BEBERAPA pengguna kenderaan ‘cuak’ seketika apabila sekumpulan anak babi berkeliaran di jalan raya selepas sebuah lori membawa muatan haiwan itu terbalik di Kilometer 31, Jalan Moyog Penampang-Tambunan, dekat Tambunan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi itu, lori yang membawa muatan haiwan itu secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas lalu menyebabkan muatan anak babi itu terhumban ke jalan raya.

Pemandu lori berusia 40-an dan kelindannya, 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan hampir sejam.

Namun, ia kembali seperti biasa selepas polis membantu mengawal lalu lintas.

Difahamkan, lori itu dalam perjalanan untuk menghantar anak babi terbabit ke sebuah lokasi berhampiran Pekan Donggongon, Penampang.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Johnny John Jinuli berkata, secara kebetulan, kenderaan utiliti dinaikinya bersama sepasukan anggota melalui lokasi kejadian.

“Kami dalam perjalanan dari Tambunan menuju ke Penampang sebelum terserempak dengan kemalangan itu.

“Kami kemudiannya memberhentikan kenderaan bagi menjalankan pemeriksaan.

“Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku memandangkan pemandu dan kelindan lori berjaya keluar dari kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Metro

Difahamkan, pengusaha haiwan itu menangkap semula anak babi itu dan mengangkutnya dengan menggunakan lori lain.

Selain itu, ada juga orang awam yang mengambil anak babi yang berkeliaran di kawasan kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.