Ahli PKR Keluar Parti, Umum Masuk PRM

PETALING JAYA – Seramai 70 lagi ahli PKR Selayang, Klang dan Kota Raja secara rasmi menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini setelah kecewa prinsip kepimpinan tertinggi PKR yang tidak sehaluan dengan dasar penubuhan parti.

Malah menurut bekas Ketua Biro Aduan PKR Selangor, M. Telaiamblam, kemunculan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) serta calon perdana menteri PH juga faktor utama meruntuhkan keyakinan ahli-ahli.

Mereka juga tidak yakin nasib lagi kaum India akan terbela dibawah PH.

“Bukan sekadar 70 orang ahli sejak dua minggu lalu malah lebih ramai ahli PKR yang kecewa dengan kepimpinan parti keluarga PKR ini akan menyertai PRM dalam tempoh terdekat.

“Kami kecewa dengan PKR yang kepimpinannya tidak menghormati suara ahli akar umbi selain tidak nampak sebarang usaha PKR ke arah mentransformasikan kehidupan masyarakat India, lagilah kalau dibawah Tun M yang juga pernah gagal dibawah pentadbirannya,” katanya pada media hari ini.

Selain Telaiamblam, dua lagi pemimpin PKR yang turut menyertai PRM hari ini ialah bekas Setiausaha PKR Ranting Sri Andalas, M.Uthayakumar dan Timbalan Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Steven Tan.

Mereka menjadi ahli PKR sejak tahun 2008.

Menurut mereka, PRM dan prinsipnya yang berlandaskan kebajikan dan perjuangan masalah rakyat dan membentuk negara berasaskan pentadbiran merakyatkan ekonomi menjadi pilihan.

Turut hadir pada sidang media yang sama ialah Presiden PRM, Ariffin Salimon, Setiausaha Agung PRM, Koh Swe Yong dan bekas wakil rakyat DAP, Janice Lee yang juga Setiausaha PRM Selangor.

Sementara itu, Swe Yong berkata, penyertaan ahli-ahli PKR itu sekali gus menambah kekuatan keahlian PRM untuk menghadapi PRU-14.

Katanya, parti itu memperkenalkan maskot ‘Seladang’ sebagai proses peremajaan parti itu untuk menarik lebih ramai ahli baharu daripada kalangan golongan pemuda di negara ini menyertai perjuangan mereka.

“Tujuan ialah pertama mengalukan ahli-ahli baharu dan memperkenalkan kawasan potensi bertanding pada PRU-14 oleh PRM.

“Agenda bertanding PRU-14 di seluruh negara sedang dibentuk dan ditrancang teratur.

Beliau percaya, PRM dapat meyakinkan pengundi untuk bersama mereka untuk melaksanakan dasar yang berbeza dengan apa yang dilakukan PH.

“Maskot Seladang membawa simbol kekuatan, keberanian, kesungguhan dan ikhlas dan yakin sesuai dalam menarik golongan pemuda yang akan menjadi penentu PRU kali ini dan PRM dalam landasan tepat untuk menarik pengundi baharu itu.

“Kita akan mengumumkan calon PRM yang akan bertanding kerusi DUN di Klang pada Sabtu depan di Klang nanti dalam satu sidang media,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.