TPM Nasihat Khairy Jangan Tanding Presiden FAM

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dinasihatkan agar melupakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Itu saranan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menasihatkan Khairy agar tidak menawarkan diri atau menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

 

Menurut Zahid, Khairy seharusnya lebih menumpukan perhatian kepada portfolio yang dipegangnya agar memberikan perhatian kepada semua sukan di Malaysia dan bukan hanya semata-mata kepada sukan bola sepak.

 

“Saya nasihatkan Khairy agar menolak pencalonan itu. Dia seharusnya terlibat dengan semua aspek pembangunan sukan di Malaysia selaras dengan statusnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

 

“Beliau (Khairy) tidak perlu menawarkan diri atau menerima pencalonan (bertanding jawatan Presiden FAM). Menteri Belia dan Sukan harus berada di atas semua organisasi kesukanan.

 

“Sebagai individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia semua sukan termasuk belia, beliau tidak seharusnya terlibat secara langsung memegang sebarang jawatan dalam persatuan. Beliau tak perlu menawarkan diri atau menerima pencalonan,” jelas Ahmad Zahid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

 

Khairy yang merupakan Timbalan Presiden FAM pada 2007 bersama pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta bekas Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa masing-masing dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-53 badan induk bola sepak negara itu 25 Mac depan.

 

Kosmo! semalam melaporkan, Tunku Ismail, Khairy, Annuar dan Aseh masing-masing menerima pencalonan daripada ahli gabungan FAM untuk bertanding jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-53 FAM.

 

‘Kerusi panas’ itu kosong selepas Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan tersebut yang dipegang baginda sejak tahun 2014.

 

Pada awalnya, Tunku Ismail dilihat sebagai calon pilihan untuk menerajui FAM tetapi baginda telah memberi bayangan untuk tidak bertanding merebut jawatan tersebut selain memberikan sokongan penuh kepada Aseh untuk menjadi presiden baharu FAM.

 

Kini, Aseh dan Khairy dilihat mendominasi pencalonan untuk jawatan Presiden FAM dengan Aseh dilaporkan meraih tujuh pencalonan manakala Khairy pula menerima enam pencalonan. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.