‘I Menyerah Saja B…’

Lazimnya amalan merancang keluarga tidak dilakukan secara sebelah pihak saja. Melalui perbincangan suami isteri, mereka berpakat memilih masa sesuai untuk menambah bilangan anak, dan selebihnya berserah kepada Tuhan.

 

Cuma mungkin kadang-kadang ia akan membuat sebelah pihak terpaksa berpasrah lebih, seperti tergambar pada pelakon dan pengacara Scha Alyahya.

 

Kini usia anak sulung mereka, Lara Alana, sudah mencecah dua setengah tahun dan Scha memasang impian untuk menimang cahaya mata kedua.

 

Untuk itu, di depan media dia membayangkan keinginannya itu beberapa kali kepada Awal, namun seolah-olah belum diyakini.

 

Dan apabila kedua-dua pasangan itu rancak menceritakan perihal perancangan keluarga mereka, Scha tiba-tiba mencelah dengan kata-kata yang menimbulkan riuh wartawan.

 

“I menyerah saja B,” kata Scha kepada Awal, sekaligus membayangkan hasratnya untuk kesekian kali.

 

“B” adalah gelaran diberikan Scha kepada suaminya.

 

Pasangan itu diijab kabul sebagai suami isteri hampir lima tahun lalu.

 

Pada awalnya, apabila diajukan soalan mengenai kesediaan Awal untuk menambah anggota baru dalam keluarga, dia berpendapat ada beberapa perkara yang menimbulkan kegusaran perlu diambil kira.

 

“Antara faktor itu, mungkin keadaan semasa ekonomi, harga barangan pun semakin mahal.

 

“Saya sebenarnya ada perancangan tetapi memerlukan masa sesuai. Iyalah, kalau Scha hamil, banyak perlu difikirkan.

 

“Lara pula selalu mahukan perhatian, bagaimana kalau kasih sayang itu beralih kepada adiknya nanti?” soalnya.

 

Awal dan Scha ditemui pada majlis pelancaran wangian dengan Bleu dan Maroon di Kuala Lumpur semalam.

 

Pati ramuan wangian itu diambil dari Dubai dan produk berkenaan menjadi langkah awal strategi pemasaran Awal untuk produk sulungnya yang berharga RM55 sebotol – dijual menerusi enam stokis terpilih.

 

Maroon yang terdiri daripada pelbagai wangian bunga adalah produk “mesra wuduk”.

 

Sebenarnya terdapat kisah menarik yang menyebabkan Scha tergerak hati untuk menjalankan perniagaan produk wangian itu.

 

Malah alasan sama juga menyebabkan pelakon Histeria itu mula terpaut untuk mengenali keperibadian Awal dengan lebih dekat.

 

“Apabila Awal melintas lalu di koridor pejabat Astro, dia meninggalkan haruman yang membuat saya tertanya-tanya siapa gerangan yang baru lalu tadi.

 

“Walaupun bau itu kuat seakan-akan pewangi kerap digunakan oleh Pak Arab, tetapi kenangan yang membawa nilai sentimental itu berjaya menyatukan kami berdua,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.