Abe Jumpa Trump Bagi Bincang Isu Perdagangan

WASHINGTON – Isu perjanjian perdagangan dua hala dijangka menjadi tumpuan utama Presiden Donald Trump ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, di Rumah Putih, bulan depan.

 

Menurut pegawai pentadbiran Trump, ia berikutan tindakan presiden itu menarik diri daripada Perjanjian Kerjasama Asia Pasifik (TPP) baru-baru ini.

 

“Saya melihat kunjungan Abe itu lebih kepada usaha susulan bagi mencari pengganti kepada TPP.

 

“Ia berikutan pelaburan dan usaha yang sudah dikeluarkan (oleh Abe) untuk mendapatkan sokongan bagi TPP, jadi adalah wajar untuk bekerjasama dengan beliau dalam isu ini,” katanya, yang enggan dikenali.

 

Sebelum ini, Trump yang mengambil alih jawatan presiden pada Ju maat lalu, berkata beliau akan membatalkan beberapa perjanjian dua hala, selain perjanjian pelbagai hala seperti TPP. Malah, klausa notis pembatalan dalam tempoh 30 hari juga akan dimasukkan, jika pihaknya mendapati Amerika Syarikat tidak dilayan dengan adil dalam setiap perjanjian terbabit.

 

TPP yang membabitkan 12 negara sudah dibincangkan selama beberapa tahun.

 

Ia dianggap sebagai perjanjian antara Amerika Syarikat dan Jepun, iaitu masing-masing kuasa utama dan ketiga dunia.

 

Bagaimanapun, Trump menganggap TPP boleh menjejaskan peluang pekerjaan rakyatnya.

 

Namun, sebaliknya ada pihak menganggap tindakan mengabaikan perjanjian itu mampu meningkatkan penguasaan China di rantau Asia Pasifik.

 

Sementara itu, media Jepun melaporkan, Abe dijangka mengadakan pertemuan dengan Trump pada 10 Februari ini. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.