UPSR Bocor: Bekas Pengarah, Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Peperiksaan Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Na’imah Ishak dan bekas Timbalan Pengarah Operasi lembaga itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh didapati tidak bersalah dalam kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

 

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, laporan akhir hasil siasatan Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam di Malaysia mendapati kedua-dua pegawai itu kini bebas daripada tuduhan itu dan bertugas seperti biasa.

 

Bagaimanapun beliau berkata, mereka kini ditugaskan ke tempat lain.

 

“Mereka tidak bersalah tetapi ditukarkan ke tempat lain,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Cambridge di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

 

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima laporan akhir berkenaan daripada Pengerusi jawatankuasa itu, Tun Zaki Azmi yang memuatkan 15 syor penambahbaikan peperiksaan awam di negara ini yang membabitkan definisi serta proses kerja di peringkat produksi, operasi dan pengurusan.

 

Ia turut mengandungi analisis dan penilaian terhadap proses kerja dan prosedur operasi standard pengurusan peperiksaan awam kendalian Lembaga Peperiksaan. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.