Tindakan Proaktif Najib Penting Untuk Tangani Ekonomi Semasa – Pakar

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) — Tindakan proaktif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengurangkan kos operasi kerajaan dan melihat kembali keutamaan perbelanjaan adalah langkah awal yang penting bagi menangani keadaan ekonomi semasa.

 

Penganalisis ekonomi Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata pengurangan perbelanjaan yang tidak penting dan memberikan fokus terhadap pelaburan pembangunan, terutamanya projek-projek mega dapat mengukuhkan ekonomi negara.

 

“Pertama, pembangunan projek infrastruktur ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menjana pendapatan kepada rakyat.

 

Kedua, kita juga mesti meningkatkan kemudahan pengangkutan awam selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2020,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Pada Selasa lepas, Najib mengumumkan Perbelanjaan Mengurus dijangka dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja manakala perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan dalam Bajet 2015 sebanyak RM48.5 bilion tidak berubah.

 

Beliau berkata projek-projek bersifat ‘ekonomi rakyat’, yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo, MRT jajaran kedua, LRT dan Keretapi Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura serta Rapid di Pengerang, Johor akan tetap diteruskan.

 

Menurut Mohd Yusof yang juga Reaktor Kolej Universiti Insaniah (Kuin), untuk mencapai penjimatan Perbelanjaan Pengurusan sebanyak RM 5.5 bilion itu, agensi kerajaan perlu bertindak seperti syarikat swasta untuk menjimatkan kos.

 

“Kita kena gunakan apa yang kita panggil indeks kreativiti, sesuatu yang kita belanja itu mesti memberikan impak yang tinggi kepada organisasi kita. Perbelanjaan yang tidak memberikan kesan yang besar perlu ditangguhkan,” katanya.

 

Disamping itu, beliau yang yakin bahawa Malaysia mampu capai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, menyarankan bahawa pasar raya besar harus mewujudkan sudut khas untuk mempromosikan barangan daripada desa dan luar bandar.

 

Beliau berkata langkah ini dapat membantu penduduk luar bandar meningkatkan pendapatan mereka selain meningkatkan pasaran bagi barangan buatan Malaysia di seluruh negara.

 

“Jadi walaupun keadaan ekonomi ini tidak menentu, kita masih mempunyai banyak peluang untuk menjana pertumbuhan sama ada diperingkat negara, isi rumah atau institusi,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.