Tiada Istilah Merotan Dalam CRC

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Setiap peruntukan dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) tidak menyebut secara jelas berhubung ‘corporal punishment’ atau hukuman terhadap kanak-kanak termasuk merotan.

 

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin berkata, sebaliknya la­rangan dalam konvensyen itu bermaksud satu perakuan atau galakan dan bukannya peraturan yang perlu dipatuhi dengan disesuaikan mengikut faktor agama atau budaya sesebuah negara dalam pelaksanaan hukuman tersebut.

 

Menurut beliau, Artikel 19 dan 28 dalam konvensyen itu juga tidak merujuk secara langsung tentang larangan merotan.

 

“Malaysia telah membuat beberapa pengecualian beberapa artikel dalam CRC itu kerana tidak sesuai atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan termasuk Syariah.

 

“Saya yakin maksud Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berhubung pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa itu adalah tertakluk kepada realiti budaya, kehendak agama dan peruntukan di dalam CRC khususnya tentang ‘corporal punishment’,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

 

Kelmarin, Rohani memberitahu, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

 

Namun, selepas mendapat bantahan pelbagai pihak, beliau menjelaskan bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terpe­rinci supaya apa-apa perbuatan sehingga menyebabkan kecede­raan fizikal atau emosi terhadap kanak-kanak menjadi satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda lebih tinggi.

 

Walau bagaimanapun, Azril meminta kerajaan mengambil pendekatan untuk meneruskan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, khusus­nya pakar agama, pakar kanak-kanak dan ahli psikiatri sebelum rang undang-undang terbabit dikemukakan untuk pertimba­ngan Kabinet.

 

“Masyarakat perlu ketahui bahawa rang undang-undang itu belum dibawa ke Kabinet dan penggubalannya di peringkat akhir dan sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.