Saya Kenal Zamani Sejak Awal Dia Menyanyi, Pernah Nasihat Lupakan Siti – Saari Amri

Kuala Lumpur – Sepanjang minggu lalu, nama penyanyi Zamani menjadi bualan hangat selepas dia ditangkap akibat dadah. Malah, kisahnya semakin diperkatakan ramai selepas timbul isu video yang memuatkan rakaman dia dipaksa menyanyi sewaktu ditahan di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

 

Namun, isu memuat naik rakaman video itu reda selepas Zamani menyatakan dia memaafkan pihak yang terlibat isu tersebut.

 

Di samping isu video Zamani, apa yang masih menimbulkan tanda tanya pada ramai peminat apabila pencipta dan penggubah lagu terkenal, Saari Amri, 49, memuat naik satu status di laman Twitter, pada minggu lalu.

 

 

 

saari amri

 

Menerusi laman sosial itu, Saari menulis kenyataan merujuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tahu punca Zamani terlibat dengan gejala penangihan dadah.

 

Mengulas mengenai status itu, pencipta lagu Gerimis Mengundang ini memberitahu dia tidak berniat mencetuskan apa-apa isu sebaliknya sebagai antara sahabat yang rapat dengan Zamani, dia berasa simpati dengan nasib yang menimpa vokalis kumpulan Slam itu.

 

Katanya, dia pernah menasihatkan Zamani agar melupakan tentang kisah silamnya dengan Siti dan terus menjalani hidup dengan sempurna.

 

“Saya kenal Zamani sejak dari awal dia mula menyanyi. Dia pun banyak menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya dan kami memang rapat malah, saya sering juga banyak menghabiskan masa dengan dia.

 

“Pernah satu ketika saya bertanyakan pada dia mengapa dia jadi begitu dan saya nasihatkan dia supaya melupakan Siti dan menjalani hidup dengan lebih baik tetapi Zamani seorang yang sangat setia.

 

“Jadi, apabila berita penangkapannya tersebar, saya berasa kasihan dengannya dan atas sebab itu saya ‘tweet’ sekadar mahu meluahkan rasa simpati dan meluahkan apa yang betul.

 

“Sebenarnya ramai juga kenalan yang tahu tentang perkara itu tapi itu kisah lama. Tiada niat saya nak bangkitkan atau timbulkan apa-apa isu,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

 

Saari sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu-lagu lain ciptaannya yang popular seperti Lena Diulit Intan nyanyian Wings, Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan), Di Sana Menanti Di Sini Menunggu (UK’s), Butakah Cinta (Spring), Madah Berhelah (Ziana Zain), Hajat (Haida), Penantian (Black Rose), Sesat Dalam Rindu (Damasutra) dan Rambulan Kesiangan (Razzi Rahman).

 

Dedah Saari lagi, dia sebenarnya ada menulis sebuah lagu berjudul Lahirmu Untuk Dia dan lagu tersebut berkaitan dengan kisah hidup Zamani. Sepatutnya, lagu itu sudah hampir dirakamkan tetapi ekoran penangkapan penyanyi itu, Saari terpaksa memberikan lagu itu kepada penyanyi lain.

 

“Saya pernah bagi dia dengar lagu itu dan sepatutnya hampir dirakamkan. Lagu itu memang tentang kisah hidup dia tetapi apabila sudah jadi begini, saya berikan lagu itu kepada Aris Ariwatan untuk menyanyikannya dan lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru untuk projek khas yang sedang saya usahakan sekarang.

 

Bercerita lanjut tentang projek khas tersebut, Saari menyatakan dia sedang menyiapkan album untuk satu projek amal dalam misi membantu balu-balu anggota polis yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sekitar tahun 2013.

 

Album berjudul Ibarat Lilin Saari Amri itu memuatkan sebanyak tujuh lagu baru dan 21 koleksi lagu hits ciptaannya. Antara penyanyi yang terlibat seperti Aris Ariwatan, Keena (Mentor) dan turut melibatkan tiga anggota polis untuk menyanyikan antara lagu baru dalam album tersebut.

 

“Saya sedang menyiapkan album projek khas. Mengikut perancangan, sebanyak 70% daripada hasil jualan album ini akan disumbangkan kepada tujuh balu anggota polis yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu.

 

“Album ini akan dilancarkan dalam masa terdekat ini. Sekarang ini tinggal hanya hanya proses kulit album sahaja.

 

“Selain Aris Ariwatan, penyanyi lain yang terlibat seperti Keena (Mentor3). Pelakon dan penyanyi Kaza juga turut terlibat, dia merakamkan semula lagu Madah Berhelah dengan susunan muzik yang baru. Selain itu tiga anggota polis juga ada menyanyikan lagu untuk album ini”, katanya. – mD

2 thoughts on “Saya Kenal Zamani Sejak Awal Dia Menyanyi, Pernah Nasihat Lupakan Siti – Saari Amri

  • March 12, 2015 at 9:20 am
    Permalink

    Assalamualaikum wbt
    Sy sbgai peminat tegar slam-zamani cukup kagum dgn kekuatan mental untuk berdepan semua ini. Dipaksa atau terpaksa menyanyi itu adalah kuasa polis masa dlm tahanan yang selalu berlaku pada setiap tertuduh. Manyanyi menjaret meraung biasa. Cuma kenapa si peminat itu (anggaota polis) sibarkan video tersebut. Sy ada permintaan jika benar negara kita masih dlm tiada diskriminasi. Pertama ” 1. Polis berkenaan mesti namaya disibarkar lakonan semula—baru dia rasa apa dia pada org. 2. Kepada ketua polis negara KDN khusus, sudahkah mengambil tindakan tatatertib pada anggaota berkenaan? Zamani tak ambil tindakan tp untuk menjaga nama baik PDRM tunjuk pd umum teluscekap mana. ??? Sy mints maaf jika semi a ITU sudah dilaksakan sy vary membaca blog INI hanya luahkan perasaan sebagai Hanna allah .l

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.