Pusat Pemindahan Banjir Di Kelantan Ditutup, Mangsa Di Sarawak Meningkat

KUALA LUMPUR: Kelantan pulih daripada banjir apabila semua baki mangsa dibenarkan pulang mulai malam tadi dengan semua pusat pemindahan banjir di negeri itu ditutup.

 

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat manakala di Sabah masih kekal 47 orang.

 

Di KELANTAN, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, 255 mangsa daripada 62 keluarga di Kuala Krai telah ditempatkan di kediaman sementara iaitu khemah dan rumah di kampung masing-masing.

 

Di SARAWAK, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke enam pusat pemindahan di seluruh negeri itu pagi ini meningkat kepada 1,153 orang daripada 368 keluarga berbanding 940 mangsa daripada 148 keluarga malam tadi.

 

Katanya, mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Bintulu (Stadium Tertutup Bintulu) meningkat kepada 744 orang membabitkan 245 keluarga.

 

Lain-lain pusat tidak berubah, iaitu Samarahan (54 orang), Mukah (66 orang), dan Limbang (351 orang).

 

Di SABAH pula, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Beaufort berkata, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 47 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Dewan Baru Membakut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.