Pilihan Raya PBT Beri Beban Kewangan Kepada Rakyat

PUTRAJAYA – Pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negara ini dikhuatiri akan memberi beban kewangan kepada penduduk terutama berkaitan kadar cukai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

 

Beliau menjelaskan keadaan itu disebabkan kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kecuali di bandaraya, mempunyai rekod kewangan dalam keadaan defisit sehingga terpaksa dibantu kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri untuk beroperasi.

 

Diminta mengulas usaha DAP mendesak supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula di Pulau Pinang, Muhyiddin berkata perkara itu perlu diteliti secara halus memandangkan kerajaan persekutuan sekarang juga banyak membantu PBT.

 

“Apakah bermakna bila nak adakan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan, maka bermakna urusan yang berkaitan kerajaan tempatan akan diuruskan oleh kerajaan tempatan sendiri.

 

“Jadi, soal yang timbul, kalau nak buat pilihan raya sendiri adakah bermakna dia (PBT) nak jadi autonomi. Kalau ya, dia kena cari jalan untuk ada kewangan sendiri dan antara jalan ialah dengan menaikkan kadar cukai, cukai pintu, cukai lesen,” katanya pada sidang media di sini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bencana Banjir Kilat dan Tanah Runtuh yang melanda Cameron Highlands.

 

“Apakah bermakna DAP bagi cadangan itu (pilihan raya kerajaan tempatan) supaya kuasa diberi kepada kerajaan tempatan. Dan kalau tiada sumber, dia terpaksa menaikkan cukai” katanya.

 

Muhyiddin juga berkata tidak ada sebarang kewajaran untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana sistem demokrasi di negara ini sememangnya telah berjalan dengan subur selepas merdeka.

 

Malaysia telah terbukti antara negara paling demokratik jika dibandingkan dengan negara yang mengamalkan sistem demokrasi kerana ia bukan sahaja mempunyai pilihan raya Parlimen, malah turut mengadakan pilihan raya Dun bagi membolehkan pentadbiran berjalan lancar, katanya.

 

“Daripada sudut kerajaan, saya tak fikir perkara itu sesuai. Nak katakan tidak ada demokrasi dengan sebab tidak ada pilihan raya tempatan itu, tidak betul.

 

“Sudah ada sejarah kenapa tidak ada pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan, apa lagi dengan keputusan terkini mahkamah yang dibawa oleh pihak tertentu oleh DAP sudah pun diputuskan. Atas sebab itu tak harus ada satu debat (tentang pilihan raya tempatan),” katanya.

 

Mahkamah Persekutuan di sini, pada Ogos lepas memutuskan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

 

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata kerajaan negeri tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

 

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

 

Muhyiddin berkata isu pilihan raya tempatan itu turut menimbulkan percanggahan pendapat dalam kalangan parti dalam PR.

 

“Yang dalam Pakatan sendiri dia tak setuju. DAP kata satu, Pas kata begini. Jadi mungkin dia kena selesaikan di peringkat dia sendirilah, ” katanya.

 

Timbalan perdana menteri menarik perhatian apabila berkata mungkin tidak ramai penduduk yang akan keluar mengundi jika pilihan raya tempatan diadakan kerana mereka telah “malas”.

 

“Kalau ada satu lagi peringkat pilihan raya, ia akan jadi politik sepanjang masa. Kalau ada pilihan raya, mungkin ada tak mengundi kerana sebahagian dah malas dan ini tak begitu praktikal.

 

“Apakah dalam situasi sekarang, dah ada dah pilihan raya Parlimen dan Dun, Malaysia masih tak demokratik atau ada muslihat,” kata Muhyiddin.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.