Pilihan Raya PBT: Ahli PAS Mesti Akur Dan Sokong Pendirian Presiden

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Semua pemimpin dan ahli Pas mesti akur dengan pendirian Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membantah hasrat DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, mereka tidak sepatutnya mempertikaikan kebimbangan Abdul Hadi tentang kemungkinan pilihan raya PBT mencetuskan insiden seperti tragedi 13 Mei 1969.

 

Menurut beliau, kesetiaan terhadap Abdul Hadi perlu lebih diutamakan berbanding pemimpin-pemimpin lain dalam pakatan pembangkang, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng.

 

“Yang saya nampak ahli-ahli DAP lebih bersepakat menyokong apa jua pendirian pemimpin mereka.

 

“Saya sangat dukacita apabila apabila ahli-ahli Pas sendiri mengkritik kenyataan Presiden parti secara terbuka melalui media,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas, Mohamed Hanipa Maidin dalam kenyataan yang disiarkan portal berita propembangkang, ‘Malaysiakini’ hari ini mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi itu.

 

Ahli Parlimen Sepang itu bukan sahaja tidak bersetuju dengan pandangan Abdul Hadi malah menyifatkan hujah yang mengaitkan pilihan raya PBT dengan tragedi 13 Mei 1969 sebagai pelik.

 

Selain itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof dalam kenyataan melalui laman Facebook miliknya hari ini berpandangan, isu hudud atau pilihan raya PBT tidak seharusnya ditunggangi golongan sempit yang melihat semuanya dari kaca mata perkauman.

 

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali secara sinis menyatakan beliau sangat ‘tertarik’ dengan tindakan dua pemimpin Pas terbabit menulis artikel menyanggah pandangan Presiden parti terhadap isu pilihan raya PBT dan menyokong idea serta dasar DAP.

 

“Ia menggambarkan seolah penegasan seorang ketua dalam sebuah parti tentang perkara dasar parti hanyalah kenyataan ‘peribadi’ yang boleh didebatkan di media terbuka dan bukan dalam mesyuarat parti,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook miliknya hari ini. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.