Khairul Sedia Sekat Impian JDT

Kuantan: Dinobatkan Pemain Paling Bernilai 2014, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid sedar tugas besar bakal dipikul untuk mempertahankan gawang Pahang daripada dibolosi pada pertemuan Piala Sumbangsih bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Larkin, Sabtu ini.

 

Pada masa sama, penjaga gol utama Pahang itu mahu membantu skuad Tok Gajah mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali kedua berturut-turut biar pun dianggap misi sukar.

 

Namun, sebagai benteng terakhir pasukan, dia kini sudah bersedia mempamerkan prestasi terbaik terutama fokus sepanjang perlawanan sengit itu terutama ia aksi pembukaan tirai Liga Malaysia musim ini.

 

“Setakat ini, saya dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk bertemu Johor DT biarpun kelebihan dilihat memihak lawan kerana beraksi di depan penyokong sendiri.

 

“Tapi berbekalkan pengalaman dan semangat tinggi semua pemain, kejayaan pasti menjadi milik kami,” katanya selepas majlis pelancaran jersi baru Pahang di aL-IkhsaN Sports Sdn Bhd (aL-ikhsaN) East Coast Mall, di sini, semalam.

 

Turut hadir, kapten Pahang, Mohd Razman Roslan dan dua pemain tengah, Azamuddin Mohd Akil serta Mohd Hafiz Kamal bersama-sama Pengurus Besar aL-ikhsaN, Mohd Shane Mohd Isa.

 

Sementara itu, Mohd Hafiz yang baru pulih daripada kecederaan buku lali kiri berkata, dia bersedia diturunkan untuk membantu Pahang melakar kejayaan sulung musim ini. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.