Kereta Kami Meluncur Bagaikan Bot – Mangsa Nahas

Bintulu –  “Kereta kami meluncur bagaikan sebuah bot. Saya hanya mampu bertakbir dan berdoa semoga keluarga selamat,” kata Jamaludin Narawi, 45, selepas kereta dinaiki bersama isteri serta anak dihanyutkan arus banjir sebelum terhumban ke gaung di Kilometer 17 Jalan Tatau-Bintulu, di sini, kelmarin.

 

Sebelum kejadian jam 11 malam, Jamaludin bersama isteri Fatimah Abdullah, 30, dan anaknya Nazmi dalam perjalanan ke Bintulu sebelum kenderaan dinaiki dihanyutkan arus air yang melimpah di atas jalan akibat hujan lebat.

 

Jamaludin berkata, ketika melalui jalan berkenaan, kebetulan sebuah lori tiga tan datang dari arah bertentangan menyebabkan air yang menenggelami jalan mengalir deras sehingga menghanyutkan keretanya.

 

“Saya cuba mengawal bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, namun tindakan itu tidak berjaya. Arus deras menolak kereta saya ke dalam gaung sedalam lima meter.

 

“Mujur, kami sekeluarga tidak panik ketika itu, malah berusaha keluar menyelamatkan diri. Saya sempat menjerit kepada isteri dan anak supaya segera keluar sebelum kereta terhumban dalam gaung berhampiran,” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.