Kerajaan Sedang Teliti Peruntukan Undang-Undang ‘Rotan’ Anak

Kuala Lumpur – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi terhadap kanak-kanak menjadi satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda lebih tinggi.

 

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan berkata, sebenarnya kesalahan itu turut digariskan dalam undang-undang sedia ada iaitu di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Bagaimanapun katanya, undang-undang tersebut hanya mengenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

 

“Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat, kaunseling atau kursus keibubapaan.

 

“Adalah ditegaskan bahawa peruntukan yang dicadangkan dalam rang undang-undang kanak-kanak baharu nanti bukanlah bermaksud setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah. Hanya perlakuan merotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh dikategorikan dalam melakukan kesalahan jenayah,’’ kata kenyataan itu di sini hari ini.

 

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengulas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bahawa tindakan merotan anak akan menjadi kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

 

Kata kenyataan itu, kementerian akan meneliti empat perkara dalam cadangan tersebut iaitu:

– Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC);
– Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);
– Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion;
– Peruntukan baharu tentang pelaksanaan deinstitutionalisation.

 

Dalam masa yang sama, ketika ini, menurut kenyataan tersebut, Seksyen 91 (1) (g) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah.

 

“Walau bagaimanapun, berdasarkan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC, kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut,’’ jelas kenya­taan tersebut.

 

Kata kenyataan itu, kementerian juga akan meneruskan tradisi amalan perundingan secara berterusan bersama-sama semua pihak berkepentingan dalam penggubalan undang-undang baharu. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.