Himpunan Anti-Kidex Beri Kejutan Tiga Wakil Pakatan

PETALING JAYA: Ketika kontroversi projek Datum Jelatek di Taman Keramat memburuk, Menteri Besar Azmin Ali turut berdepan dengan bantahan semakin marak terhadap projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

 

Semalam, penganjur majlis bantahan projek itu enggan membenarkan tiga ahli Parlimen DAP dan PKR untuk berucap kepada hadirin.

 

Gobind Singh Deo ( Puchong-DAP), Tony Pua (Petaling Jaya Utara-DAP) dan R. Sivarasa (Subang-PKR) terkejut apabila tidak diberi laluan untuk berucap kepada ratusan hadirin di tunjuk perasaan itu.

 

Wakil penganjur Mak Khuin Weng berkata ketiga-tiga wakil rakyat itu dilarang berucap kerana mereka tidak menjawab jemputan yang dihantar untuk menghadiri tunjuk perasaan itu.

 

“Kami tidak membenarkan mereka berucap, kerana mereka tidak membalas atau memberi pengesahan kepada jemputan yang dihantar,” kata beliau.

 

Beliau berkata wakil-wakil Pakatan Rakyat berkenaan juga tidak memberikan sebarang bantuan dalam penganjuran majlis itu yang dibiayai menerusi derma orang ramai.

 

Mak berkata tunjuk perasaan semalam berjaya mendapatkan reaksi daripada wakil-wakil Pakatan Rakyat.

 

“Sebelum ini mereka berdolak dalih, tetapi sekarang mereka sekurang-kurangnya memberi komitmen untuk membawa rungutan kami kepada menteri besar,” kata beliau.

 

Kira-kira 800 penduduk sekitar Petaling Jaya hadir untuk membantah cadangan pembinaan Kidex semalam meskipun Menteri Besar Azmin Ali memberikan beberapa jaminan.

 

Beliau berkata projek kerajaan persekutuan itu hanya akan dilaksanakan jika pemaju bersetuju memberi butiran penuh mengenai kos dan kadar tol yang bakal dikenakan.

 

Kidex dicanang sebagai projek yang mengurangkan kesesakan lalu lintas sebanyak 30 peratus di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP).

 

Projek lebuh raya sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2 bilion itu dibantah penduduk di sepanjang laluan cadangan tapak projek itu.

 

Mereka mendakwa Kidex bukan hanya memusnahkan alam sekitar namun akan menyebabkan harga hartanah merudum.

 

Mereka turut menegaskan Kidex bukanlah penyelesaian bijak kepada kesesakan lalu lintas dan mahu Azmin membeku kelulusan tanah untuk pembinaan lebuh raya itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.