Hanya Beza Pendapat Cara Urus Negara

SHAH ALAM – Pergeseran antara dua kem dalam Umno, iaitu penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diselesaikan segera jika Umno ingin memastikan peluang mereka memenangi PRU14 kekal cerah.

 

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, walaupun pergeseran dalam parti politik adalah perkara biasa, ia perlu diselesaikan secepat mungkin apabila melibatkan negarawan seperti Dr Mahathir yang mempunyai pengaruh sangat besar.

 

“Cara penyelesaian terbaik adalah secara dalaman, tetapi sekarang pergeseran ini sudah keluar (diketahui umum). Ini akan beri kesan tidak baik kepada Umno.

 

“Kedudukan Umno sekarang ini tidak begitu kuat, pergeseran ini akan menyebabkan sokongan kepada parti itu semakin menurun jadi perlu selesaikan segera,” katanya.

 

Menurutnya, apabila krisis itu diselesaikan, ia perlu dihebahkan kepada umum.

 

“Jangan diam saja (apabila krisis sudah selesai), kalau diam akan timbul persepsi ia belum selesai,” katanya.

 

Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu tidak memerlukan orang tengah untuk menyelesaikan perbezaan pendapat mereka.

 

“Dr Mahathir ada pendapat sendiri, Najib ada cara sendiri. Dua-dua pemimpin ini mempunyai jiwa murni untuk bantu parti.

 

“Pertembungan (pendapat antara Dr Mahathir dan Najib) belum kritikal, cuma perbezaan tentang cara mengurus kerajaan sahaja. Jadi mereka perlu jumpa empat mata untuk selesaikan,” katanya.

 

Menurutnya, berbanding PR, pergeseran Umno jarang dapat dihidu orang luar dan apabila krisis antara Dr Mahathir dan Najib dilihat tidak dapat disembunyikan lagi, banyak pihak mula bimbang.

 

“Umno juga kedudukannya kini agak lemah, PR juga lemah kerana perbalahan Pas dan DAP. Tetapi Umno sukar ambil manfaat daripada kelemahan PR kalau mereka sendiri bergaduh,” katanya.

 

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, kritikan Dr Mahathir jelas untuk memastikan BN terus mendapat mandat dalam PRU akan datang.

 

Katanya, masalah mula timbul apabila Dr Mahathir tidak dapat melihat respons daripada Umno yang tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

 

“Bak kata (veteran Umno), Tan Sri Sanusi Junid, Dr Mahathir ingin memastikan survival Umno, jadi dasar atau pemimpin perlu ditukar, manakala Najib ingin pastikan beliau terus memimpin Umno.

 

“Dr Mahathir seorang negarawan, beliau lihat apa yang terbaik untuk negara. Najib pula sebagai Perdana Menteri yakin apa yang dilakukannya kini adalah betul,” katanya.

 

Menurut Shamsul Adabi, perbezaan pendapat itu perlu diselesaikan secara bijak dengan Umno menjadi orang tengah, menggunakan biro yang sesuai dalam isu itu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.