FAM Bagi Lampu Hijau Kepada Gary

Kuala Lumpur – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi ‘lampu hijau’ kepada Gary Steven Robbat menjalani latihan bersama kelab Bundesliga Borussia Dortmund meskipun pemain muda itu menjalani hukuman penggantungan tiga bulan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Datuk Takiyuddin Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, hukuman itu hanya berkuat kuasa dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan Gary, 22, boleh menjalani latihan dengan pasukan luar negara kerana mereka tidak mahu membawa kes itu kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

 

“Keputusan hukuman ini hanya terikat kepada kejohanan atau pasukan tempatan. Dalam kes Gary, penggantungan itu hanya terpakai di Malaysia. Kalau Gary ada penaja untuk berlatih di luar negara, dia dibenarkan berbuat demikian,” katanya.

 

Menerusi kenyataan dikeluarkan laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers semalam, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bersetuju menghantar Gary berlatih bersama kelab gergasi Jerman itu sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.

 

Bekas pemain Harimau Muda A itu tidak dibenarkan terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak selama tiga bulan bermula 16 Januari lalu serta didenda RM50,000 oleh Jawatankuasa Status FAM atas kesalahan menandatangani dua kontrak bersama Johor DT dan Pahang. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.