AsiaBio Akan Terokai Industri Pengangkutan Minyak Dan Gas

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) — Asia Bioenergy Technologies Bhd (AsiaBio) merancang untuk menyertai industri pengangkutan minyak dan gas (O&G) menerusi cadangan pengambilalihan dua syarikat perkapalan bagi aktiviti hiliran.

 

Syarikat berkenaan adalah firma pelaburan saham yang mengendalikan inkubator teknologi, khususnya sektor biotenaga.

 

AsiaBio hari ini memeterai perjanjian induk (HOA) dengan Hoe Leong Corporation Ltd (HLCL) dari Singapura dan Reachmont Logistics Sdn Bhd (RLSB) bagi penyediaan kemudahan pengambilalihan Semua Shipping Sdn Bhd (SSSB) and Semado Maritime Sdn Bhd (SMSB).

 

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas AsiaBio, Steve Tan Sik Eek menyifatkan HOA itu sebagai peluang untuk menerokai aktiviti hiliran O&G.

 

Perjanjian HOA itu antara lainnya memperincikan bahawa persetujuan transaksi itu bergantung kepada kelulusan peraturan dan di bawah tempoh eksklusif selama tiga bulan.

 

Menerusi HOA itu, kata Tan, saham dalam SSSB dan SMSB akan dipindahkan ke dalam syarikat bertujuan khas (SPV) dipegang bersama HLCL, Ebony Ritz Sdn Bhd dan RLSB yang seterusnya akan diambilalih AsiaBio menerusi pertukaran saham bernilai kira-kira RM168 juta.

 

Ini menjadikan SPV memiliki pegangan saham 25 peratus dalam AsiaBio.

 

Menurutnya, SPV akan memberi jaminan keuntungan pasca cukai (PAT) sebanyak RM8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2014 dan dijangka menyumbang RM14 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 2015.

 

Bagi sebarang kekurangan perolehan pada 2015, pemegang saham perlu membayar AsiaBio dalam jumlah yang bergantung dengan bahagian pegangan saham mereka yang sedia ada.

 

Tan berkata, menerusi langkah kepelbagaian itu, beliau menjangkakan kunci kira-kira AsiaBio akan pulih dan menjadi sebahagian strategi pelaburan jangka panjangnya.

 

AsiaBio mencatatkan kerugian yang meluas bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2014 sebanyak RM1.28 juta daripada RM710,000 yang dicatatkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2013.

 

“Apabila kami terbabit dalam syarikat inkubasi dan tenaga boleh baharu, memang berlaku kekurangan pulangan pada kadar singkat untuk pemegang saham. Namun, mereka kini boleh menjangkakan pulangan lebih cepat serta modal menerusi potensi pertumbuhan SPV,” katanya.

 

Tan juga menjangkakan cadangan pengambilalihan itu dapat memanfaatkan kejatuhan harga minyak mentah yang mewakili 30 peratus daripada kos pengangkutan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.