Adeline Sorok Identiti Kekasih

Petaling Jaya – Pelakon Adeline mengakui kini sedang berpacaran dengan seorang ahli perniagaan namun merahsiakan identiti kekasihnya itu buat masa ini.

 

“Memang sekarang saya sedang mengenali seseorang. Dia merupakan seorang ahli perniagaan. Bagaimanapun, saya terpaksa merahsiakan identitinya kerana hubungan kami masih lagi di peringkat awal perkenalan dan kini sedang mengenali hati budi masing-masing. Apa yang membuatkan saya menerima kehadirannya kerana dia sentiasa menyokong karier seni saya dalam bidang lakonan.

 

“Sejujurnya kami sudah lama berkenalan. Bibit perkenalan kami bermula sewaktu rakan baik saya memperkenalkan kami berdua. Kalau boleh, enggan komen panjang-panjang kerana bimbang pendedahan saya nanti mengundang perasaan kurang selesa khalayak,” katanya.

 

Katanya tumpuan pada kerjaya lebih penting sekarang kerana banyak perkara yang belum dilaksanakan.

 

“Lagipun, saya baru sahaja selesai menamatkan pengajian, jadi untuk berfikir soal kahwin itu masih terlalu awal. Berilah saya peluang untuk kecapi sesuatu dalam hidup. Sebenarnya, saya mahu memperkukuhkan kerjaya dalam bidang lakonan dan teringin untuk menggenggam anugerah dalam ka­tegori pelakon wanita terbaik sebelum membawa hubungan ke fasa seterusnya,” katanya yang turut memberitahu yang dia sudah pun memperkenalkan teman lelakinya itu dengan keluarganya.

 

Mengenai perkembangan kerjaya, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Selipar Jepun Stiletto Merah yang bakal ditayangkan di Hypp Sensasi (Saluran 116).

 

Selain itu, Adeiline juga dalam perancangan untuk melancarkann single kedua bergenre R&B rap hasil kolaborasi de­ngan penyanyi Caprice tidak lama lagi.

 

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya saya lebih berminat untuk menjadi penyanyi. Bagaimanapun, tawaran lakonan datang dahulu apabila penerbit David Teo melamar saya membintangi filem terbitannya. Sebelum ini, saya pernah melancarkan single pertama berjudul Kau Bagiku.

 

Lagu hasil inspirasi dan idea sendiri itu hadir ketika saya membayangkan satu perhubungan jarak jauh,” katanya. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.