Tawaran ‘Pelan Damai’ Anwar Hanya Sandiwara – Anuar Shaari

KUALA LUMPUR – Tawaran kononnya untuk bekerjasama dan muafakat ke arah ‘pelan damai’ yang diusulkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Barisan Nasional (BN) adalah satu sandiwara semata-mata, menurut beberapa penganalisis politik.

Bekas Setiausaha Sulit Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Anuar Shaari berkata, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu sebenarnya tidak ikhlas untuk menjalin permuafakatan nasional berkaitan keharmonian agama dan kaum di negara ini, sebaliknya bertujuan untuk meraih populariti.

“UMNO dan BN jangan terperangkap dengan permainan sebegini kerana kalau benar-benar ikhlas, sudah lama dia (Anwar) mencadangkan perkara seperti ini. Tetapi dia jugalah yang membuka jalan kepada sengketa antara kaum dan agama dengan memainkan isu-isu sensitif.

“Seperti isu kangkung, anggota Parlimen daripada partinya yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Anwar tidak pula menasihatkan apatah lagi mengambil tindakan ke atas anggotanya. Tunjukkan keihklasan dengan memperbetulkan masalah dalaman partinya dahulu, kemudian baru tawar pelan damai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tawaran Anwar pada Ahad lepas yang dilaporkan akhbar mengajak kepada permuafakatan nasional terutamanya berkaitan keharmonian agama dan kaum di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.