Najib Mahu Tindakan Diambil Banteras Perbuatan Provokasi Agama

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu tindakan diambil berhubung insiden di Pulau Pinang untuk membanteras sebarang perbuatan yang dianggap sebagai tindakan provokasi yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan penganut agama di negara ini.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa mengutamakan keamanan dan keharmonian serta akan melakukan apa sahaja yang termampu supaya dapat mengekalkan keadaan itu berdasarkan penguatkuasaan kedaulatan undang-undang di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan sebarang tindakan yang dilakukan mesti berpaksi kepada kedaulatan undang-undang.

“Saya juga berharap supaya tidak ada pihak yang bertindak untuk bertindak balas atau mengeruhkan lagi suasana.

“Biarkan pihak berkuasa untuk ambil tindakan selanjutnya. Inilah masa untuk kita berada dalam keadaan tenang dan tidak melatah dalam apa jua keadaan kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘Maps of Malaya and Borneo: Discovery, Statehood and Progress’ di sini Isnin.

Najib berkata demikian bagi mengulas tindakan menggantung kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di beberapa kawasan di Pulau Pinang yang menimbulkan keresahan antara agama di negeri itu.

Ditanya sama ada tindakan pihak berkuasa belum cukup tegas, Najib berkata :”Biar mereka siasat, sebab bila berlaku sesuatu, kita kena biar pihak berkuasa siasat (dahulu) sebab kita tak tahu siapa yang bertanggungawab atas perkara ini.

“Kita boleh buat andaian tetapi andaian itu mungkin tersasar. Sebab itulah saya berharap semua pihak berada dalam keadaan tenang dan jangan kita bertindak balas dan kita melatah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.