Video: China Aibkan Rakyat Berkelakuan Tidak Senonoh Ketika Melancong

SYDNEY — China menyenarai hitam lima lagi rakyatnya yang berkelakuan buruk dan memalukan semasa melancong ke luar negara, menjadikan semuanya 16 orang, setakat ini.

 

Kelakuan buruk mereka termasuklah bergaduh di dalam pesawat sehingga mengendalakan penerbangan selama sejam dan menumbuk jurujual kedai serbaneka selepas isteri pelancong itu makan sebelum membayar.

 

Nama-nama mereka diumumkan di laman web sebagai pengajaran umum, sekali gus memalukan pelancong terbabit dalam satu kempen Pentadbiran Pelancongan Negara China mulai Januari lalu.

 

Antara yang tersenarai, dua wanita dan seorang lelaki yang bergaduh di atas pesawat dalam penerbangan dari Kemboja ke Chengdu, China, lapor portal Sydney Morning Herald semalam.

 

Memetik media China, akhbar Australia itu melaporkan insiden berlaku selepas seorang wanita menurunkan kerusi yang disandarnya terlalu rendah ke belakang.

 

Pergaduhan itu menyebabkan penerbangan itu tertunda kira-kira sejam selepas juruterbang mengarahkan penumpang-penumpang itu dikeluarkan dari kapal terbang.

 

Manakala seorang lelaki disenarai hitam selepas menumbuk jurujual di Jepun kerana menghalang isterinya membuka dan memakan barangan di kedai itu sebelum membuat bayaran.

 

Beijing menggubal peraturan pelancongan pada 2013 selepas kejadian memalukan rakyatnya di luar negara. Pada tahun itu, seorang remaja China mendapat kecaman di Internet kerana merosakkan rumah ibadat berusia 3,500 di Mesir.

 

Tahun lalu, penumpang negara itu menyimbah air panas kepada seorang pramugari AirAsia dalam penerbangan dari Thailand, lapor portal Australia itu lagi.

 

 

Awal tahun ini, video yang merakamkan gelagat buruk pelancong China, memotong barisan dan mengotorkan tandas, di sebuah lapangan terbang Korea Selatan menjadi viral.

 

Ketika China mengumumkan pendekatan memalukan pelancongnya, rakyat digalakkan mengambil gambar atau video kejadian tidak senonoh dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

 

Selain mengaibkan pelancong tidak beradab, mereka yang “berkelakuan tidak bertamadun” juga boleh dihalang daripada menaiki pesawat.

 

Untuk meningkatkan kesedaran, lapor Sydney Morning Herald lagi, China menyiar iklan televisyen, antaranya aksi beruang panda kencing di sebatang pokok dengan latar belakang imej bangunan opera Sydney.

 

Presiden China semasa lawatannya ke Maldives tahun lalu secara terbuka menegur rakyatnya agar “kurangkan mengambil mi segera” ketika di luar negara.

 

Xi Jinping membuat teguran itu selepas muncul laporan resort-resort mewah di Maldives  mengeluarkan cerek elektrik dari bilik bagi menghalang pelancong China memasak mi segera.

 

Rakyat Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Kanada sebelum ini sering dianggap “pelancong berperangai paling buruk di dunia”.

 

Selepas ini, kemungkinan besar jumlah pelancong China yang kian meningkat mampu pula mencalarkan reputasi negara kuasa besar itu di mata dunia.

 

Bank Dunia menganggar 98 juta rakyat China melancong ke luar negara pada 2013, paling ramai berbanding negara-negara lain kerana kemajuan ekonomi dan kelonggaran undang-undang yang membolehkan makin ramai melancong. – MalayMail

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.