PAS Mahu Nasihat Dan Bantu BN Selamatkan Negara, Kata Hadi

KUALA LUMPUR – PAS mahu berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan Barisan Nasional kerana ia ingin membantu menyelamatkan negara, bukan kerana mahu merebut jawatan atau kedudukan, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Presiden PAS itu berkata, menasihati pucuk pimpinan parti pemerintah itu merupakan “permulaan” kepada usaha menyelamatkan Malaysia.

 

Sekiranya nasihat itu tidak membuahkan hasil, katanya, PAS akan mengambil langkah seterusnya dengan mengambil alih pentadbiran negara.

 

“Mesej kita bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat.

 
“Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik.

 

“Atau akhirnya, kalau mereka tidak berubah, caranya mengambil alih kuasa, menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat.

 

“Nasihat juga kena pada tempat dan keadaan,” Hadi berkata dalam satu kenyataan bertajuk “Fahami konsep nasihat” yang dikeluarkan portal Harakahdaily semalam.

 

Portal tersebut menyiarkan kenyataan penuh Hadi sebagai reaksi kepada isu kerjasama antara PAS dan Umno yang kini hangat diperdebatkan.

 

Dalam kenyataannya itu, Hadi menjelaskan, pendiriannya menjadikan PAS sebagai pembangkang yang menasihati kerajaan mendapat reaksi berbeza di kalangan segelintir ahlinya yang didakwa terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi.

 

Beliau pada masa sama turut memetik ayat Al-Quran iaitu Surah Al-Asr yang menegaskan konsep nasihat dalam Islam.

 

“Apabila saya menegaskan PAS mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan, ramai kalangan yang terlalu bersemangat, sehingga mahu menjadi pembangkang semata-mata, atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi.

 

“Maka, yang lemah imannya menjadi tidak istiqamah,” katanya sambil mengemukakan huraian ayat Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang menjadi perkara dasar tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh PAS.

 

“PAS menetapkan supaya setiap majlisnya, usrah, perjumpaan besar dan kecil, ditutup dengan bacaan Surah Al-Asr.

 

“Di dalamnya ayat yang menegaskan betapa konsep nasihat sangat penting kepada jamaah Islam dan ummatnya, dengan makna yang luas bagi diri, dan terhadap semua pihak, termasuk musuh yang paling zalim,” katanya.

 

Antara lain, Hadi juga mengarahkan ahli politik PAS mengambil contoh daripada Al-Quran dan Sunnah, bukannya pembangkang daripada negara seperti England, Amerika Syarikat, Amerika Latin, Taiwan, Korea dan Jepun.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno menawarkan kerjasama dengan PAS di Perhimpunan Agung Umno bulan lepas dan mengulangi tawarannya sekali lagi pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar bulan ini. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.