Malaysia Bertindak Bijak, Kurangkan Kebergantungan Hasil Minyak

KUALA LUMPUR – Kajian firma penganalisis ekonomi antarabangsa menyifatkan kerajaan Malaysia mengambil langkah bijak dengan tidak terlalu bergantung terhadap hasil minyak sebagai sumber ekonomi negara.

 

Menurut kajian berkenaan, pendapatan kerajaan dalam sektor minyak dan gas mencatatkan sebanyak RM85.1 bilion iaitu pada kadar 41.3 peratus pada 2009.

 

“Namun hasil minyak dan gas ini dijangka berada pada RM31 bilion sahaja dan mungkin lebih rendah menerusi kiraan purata harga minyak mentah global pada kadar dolar Amerika Syarikat (AS) AS$48 (RM206.10) setong dan kini AS$37.80 (RM162.30) setong.

 

“Ini bermakna kerajaan akan kehilangan hasil sekurang-kurangnya RM60 hingga RM70 bilion pada 2016, maka di manakah anda perlu mencari RM70 bilion setahun tambahan untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia,” kata laporan terbabit.

 

Namun kajian tersebut menjelaskan, kerajaan Malaysia telah menjangkakan senario berkenaan pada 2009 ketika menerusi pembentangan Model Ekonomi Baharu (MEB).

 

“MEB telah mencadangkan beberapa pembaharuan dalam sumber-sumber dan pengagihan pendapatan termasuk asas cukai yang lebih luas melalui pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai komponen utama.

 

“Asas cukai yang lebih pelbagai diperlukan untuk mengimbangi pengurangan kebergantungan pada masa hadapan daripada sumber minyak dan gas.

 

“Secara keseluruhan, satu lagi matlamat pembaharuan fiskal adalah untuk mengurangkan kadar cukai peribadi dan korporat, yang akan memberi insentif kepada individu dan syarikat bagi meningkatkan pendapatan dan keuntungan mereka,” ujar laporan tersebut.

 

Malah laporan itu turut menyatakan dengan rizab minyak Malaysia sebanyak empat bilion tong dan kadar pengeluaran kira-kira 250 juta tong setahun, ia mampu membantu sekiranya rizab berkurangan.

 

“Masalah ini tidak dihadapi ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan faktor itu menyebabkan inisiatif GST tidak perlu dilaksanakan termasuk pembaharuan cukai yang lain.

 

“Kerajaan masa lalu juga mungkin tidak membayangkan bahawa satu hari penggunaan minyak dalam Malaysia akan melebihi pengeluarannya sepertimana yang berlaku pada 2013 dan 2014,” tambah laporan itu.

 

Jelas laporan terbabit, perancangan teliti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), pergantungan Malaysia terhadap minyak menurun daripada 41.3 peratus pada 2009 kepada hanya 14.1 peratus atau lebih rendah pada 2016.

 

“Walaupun harga minyak dan gas yang sangat rendah, eksport Malaysia terus berkembang manakala pendapatan kerajaan kekal stabil manakala ekonomi domestik terus berkembang dan negara trajektori pertumbuhannya.

 

“Jika kerajaan negara itu (Malaysia) tidak berpandangan jauh untuk mengurangkan pergantungan berkenaan walaupun pada tahun-tahun 2010 hingga 2014 iaitu harga minyak tinggi, Malaysia mungkin berhadapan dengan masalah besar pada tahun ini dan tahun depan,” kata laporan itu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.