VIDEO: Banjir Semakin Buruk, Mangsa Perlu Bantuan Segera

Kuala Lumpur – Jumlah mangsa banjir di Pantai Timur Semenanjung, Perak dan Perlis terus mencatatkan peningkatan apabila jumlah meningkat ke 103,413 orang berbanding 94,018 orang malam tadi, pertambahan sebanyak 9,395 mangsa.

Bagaimanapun, menurut portal Jabatan Kebajikan Malaysia, jumlah mangsa banjir di Kelantan kini menurun sedikit kepada 32,079 orang berbanding 34,955 orang malam tadi, penurunan sebanyak 2,876 mangsa.

Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Kota Bharu dan Tumpat ditutup untuk semua jenis kenderaan 5 petang ini, berikutan paras air sungai Kelantan hampir melimpahi jambatan itu.

Sementara itu, kira-kira 195,000 penduduk di jajahan Kota Bharu mengalami masalah bekalan air selepas syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terpaksa menutup Loji Rawatan Air (LRI) di Kampung Puteh dan Pintu Geng.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa turut meningkat kepada 31,480 orang dan jumlah pusat pemindahan yang dibuka ialah 101 dengan Kemaman kekal dengan catatan jumlah mangsa banjir tertinggi.

Beberapa laluan masih ditutup antaranya Jalan Chukai/Air Putih, Jalan Teladas dan Bukit Mentok/Kampung Tempurung di Kemaman serta Jalan Durian Mentangau-Citrus Valley di Dungun.

Di Pahang pula, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang , berkata beberapa laluan utama ditutup antaranya, kilometer (Km) 34 Jalan Kuantan-Maran, Km48 Jalan Kuantan-Maran, Km13 Jalan Jerantut-Lipis, Km86 Jalan Lipis-Gua Musang dan Km 91 Jalan Lipis-Merapoh.

Setakat ini, dua kematian dilaporkan akibat banjir iaitu masing-masing satu di Sungai Lembing dan Lipis.

Sementara itu, paras air Sungai Kuantan, Sungai Belat, Sungai Pandan dan beberapa lagi sungai utama di daerah ini kini menunjukkan penurunan.

Bagaimanapun, laman Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah memaklumkam, tumpuan diberikan kepada kawasan sempadan Kuantan-Pekan apabila bermula jam 4 pagi ini paras air di Sungai Jarau, Sungai Lepar, Sungai Pahang Tua dan Sungai Soi meningkat akibat air yang datang dari hulu Sungai Pahang.

Dalam pada itu, laman Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan amaran hujan lebat peringkat merah untuk beberapa daerah di negeri ini ditamatkan dan diturunkan kepada peringkat jing­ga.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/26/banjir-semakin-buruk-mangsa-perlu-bantuan-segera/#ixzz3N0BPoOau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.