Sesi Persekolahan Akan Ditangguhkan Sehingga Banjir Kembali Pulih

Kuantan – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sesi persekolahan akan ditangguhkan sehingga keadaan banjir kembali pulih.

Penangguhan itu melibatkan semua sekolah yang terjejas akibat banjir dan termasuk yang dijadikan pusat pemindahan.

Menteri Pendidikan itu berkata tarikh itu akan diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri dan ianya bergantung kepada perkembangan banjir di negeri masing-masing.

“Kita lihat dulu, kalau keadaan memerlukan … boleh dilambatkan (sesi persekolahan) kerana sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir dan itu tidak jadi masalah.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) tentang perkara itu telah sedia ada. Pegawai Jabatan Pendidikan peringkat negeri dan daerah pun tahu, malah guru besar pun tahu, jadi tidak ada masalah,” katanya.

Muhyiddin hari ini melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Sukan Pahang (Sukpa) bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Ketika diminta mengulas sama ada kerajaan berhasrat memberikan bantuan khas persekolahan di negeri-negeri yang teruk terjejas banjir, Muhyiddin berkata perkara itu belum diputuskan.

“Saya tak nak bincang tentang perkara itu, kalau untuk persekolahan, sama ada mereka ini terlibat dengan banjir atau tidak, memang ada bantuan awal persekolahan yang Perdana Menteri telah umumkan, kita laksanakan sehingga kini.

“Itu akan dibayar selepas sekolah dibuka dan setiap pelajar akan diberikan bantuan sebanyak RM100, jadi itu akan disampaikan kepada keluarga terlibat. Tetapi untuk banjir ini saya belum mahu umum apa-apa, ini akan diberitahu dalam tempoh masa yang sesuai,” katanya.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan bahawa perkara yang penting ketika ini adalah usaha memastikan nyawa mereka yang terlibat dengan banjir dalam keadaan selamat selain kebajikan mereka terjaga.

Untuk rekod, Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu sesi persekolahan dijadualkan akan bermula 4 Jan manakala Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 5 Jan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.