Remaja Kulit Hitam Ditembak Mati Ketika Protes Kekejaman Polis AS

Missouri – Seorang remaja kulit hitam ditembak mati oleh polis di Saint Louis, insiden terbaharu ketika penduduk masih mengadakan protes berterusan terhadap kekejaman polis di seluruh Amerika.
Mangsa terbaharu ini dikenali sebagai Antonio Martin, 18, yang ditembak ketika dia tidak bersenjata.
Ibunya, Toni dan beberapa saksi berkata Martin ditembak oleh seorang anggota polis. CNN turut menyiarkan klip video bagaimana kejadian itu berlaku hari ini.
Sementara itu, Polis St Louis County dalam kenyataan berkata remaja terbabit ditembak selepas dia mengeluarkan sepucuk pistol sebaik sahaja pegawai polis menghampirinya di sebuah stesen minyak di Barkeley.
“Disebabkan bimbang keselamatannya terancam, pegawai polis terbabit melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek,” kata kenyataan itu.
Insiden berkenaan menambahkan lagi kemarahan penduduk selepas beberapa pegawai polis dilepaskan daripada tuduhan membunuh lelaki kulit hitam.
Kelmarin, barisan juri memutuskan anggota polis Christopher Manney tidak bersalah ketika menembak mati Dontre Hamilton.
Keputusan itu mencetuskan bantahan besar-besaran di Milwaukee.
Sebelum ini, Missouri dikejutkan dengan insiden remaja kulit hitam ditembak mati oleh anggota polis kulit putih, Ogos lalu.
Bagaimanapun, pegawai terbabit Darren Wilson tidak didakwa. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.