Putrajaya.. Kelantan Memerlukan Bantuan Segera – Annuar

Kota Bharu – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa merayu kepada Putrajaya untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan yang beberapa hari terperangkap tanpa bekalan makanan dan perubatan.

Annuar menerusi Facebooknya hari ini meluahkan kesusahan yang dihadapinya untuk membekalkan makanan ke pusat pemindahan yang menempatkan lebih 30,000 mangsa.

Dalam statusnya itu, Annuar memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada doktor di Hospital Kuala Krai yang memberitahunya bekalan makanan dan diesel di hospital itu tidak dapat bertahan sehingga jam 4 petang tadi.

“Saya menulis dalam FB ini untuk meminta bantuan, kerana saya masih mempunyai banyak bekalan untuk diagihkan, tetapi tidak mempunyai kemudahan mencukupi.

“Saya sudah menunggu helikopter di sini selama empat jam.

“Saya sudah menghubungi Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Ramzi Abdul Rahman, Majlis Keselamatan Negeri dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim yang sememangnya bekerja keras di semua kawasan banjir, tetapi bekalan dan kekuatan tenaga tidak mencukupi,” katanya.

Jelasnya, beliau ada menerima aduan mengenai bekalan makanan tidak mencukupi untuk diagihkan kepada mangsa banjir, sehingga menyebabkan mereka kelaparan.

“Saya harapkan bantuan segera dari Putrajaya. Bekalan tidak sampai kepada mangsa banjir. Anggota tentera dan pegawai bertugas tidak mencukupi.

“Kami perlukan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta. Kelantan memerlukan bantuan segera,” katanya.

Status Annuar menerima pelbagai maklum balas daripada mangsa yang terperangkap dalam bencana banjir dan individu yang keluarganya terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan.

Faridz Che Wahab dalam statusnya memberitahu, kampungnya dilanda banjir sejak lima hari lalu dan barang keperluan sudah habis, bantuan bekalan makanan juga masih belum sampai.

“Kami kini berada di atas bukit, berdekatan ladang kelapa sawit di Kampung Bekok, Kuala Krai.

“Kami semua dalam kelaparan dan berharap bantuan dapat sampai dengan segera,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Nur Auni Athirah berkata, dia menerima berita mengenai penduduk di Kampung Pasir Ira, di Kuala Krai yang terperangkap di bukit berdekatan selama empat hari, tanpa bekalan makanan ataupun bantuan.

“Saya cuba menghubungi individu yang membuat laporan, tetapi gagal, begitu juga dengan bilik gerakan banjir di kawasan itu, tetapi tiada jawapan.

“Saya berharap ada pihak membantu mereka, kerana mungkin ada kanak-kanak dan warga tua di sana,” katanya. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.