PM Dijangka Pulang Untuk Melawat Kawasan Banjir Di Kelantan

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadualkan pulang dari percutiannya di Amerika Syarikat untuk melawat kawasan teruk terjejas banjir di Kelantan, Sabtu ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata, pesawat yang membawa Perdana Menteri kini berada di Los Angeles dan beliau dijangka akan mengadakan mesyuarat sebaik saja tiba di Kelantan, Sabtu ini

“Sebaik saja tiba di Kelantan, Perdana Menteri akan mempengerusikan satu mesyuarat dan menerima taklimat daripada Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Kebangsaan, kerajaan negeri  dan mereka terlibat dalam kecemasan tempatan.

“Perdana Menteri juga akan bertemu dengan penduduk yang terlibat akibat banjir dan berbincang mengenai usaha-usaha baru untuk memberi sokongan kepada mereka yang terpaksa berpindah,” memetik kenyataan tersebut.

Sementara itu, jurucakap kerajaan berkata: “Perdana Menteri membuat keputusan untuk pulang bagi mengawasi tindakan kecemasan akibat banjir dan akan mendarat di Kelantan, Sabtu ini.

“Sewaktu bercuti, Perdana Menteri menerima laporan terkini mengenai situasi banjir dan bercakap dengan Timbalannya untuk memberi arahan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Kebangsaan dan Jawatankuasa Bantuan untuk menambahkan usaha mereka membantu mereka yang terlibat akibat banjir.

“Disebabkan situasi yang semakin teruk, Perdana Menteri berpendapat beliau perlu mengawasi bantuan yang diberikan,” katanya.

Najib berkata: ” Saya sangat bimbang dengan keadaan banjir dan memahami perasaan mereka yang kehilangan rumah dan anggota keluarga.

“Walaupun saya tiada di sini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Kebangsaan dan Jawatankuasa Bantuan sentiasa memberi laporan terkini mengenai situasi banjir dan mereka menyakinkan saya mereka melakukan yang terbaik untuk membantu penduduk yang terlibat.

“Tetapi saya mahu melihat keadaan ini sendiri bersama  penduduk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.