Pembantu Tadbir Bernama Meninggal Dunia

Kuala Lumpur – Pembantu tadbir Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Hamidah Ahmad, 57, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hari ini akibat kanser.

Suaminya, Rijalludin Mohamed Taib, 44, berkata Allahyarham yang dikesan menghidap penyakit itu sejak dua tahun lepas, meninggal dunia pada 7.15 pagi.

Rijalludin berkata arwah isterinya, yang bertugas di Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Bernama, merahsiakan penyakit yang dialaminya itu daripada pengetahuan banyak pihak.

“Arwah sangat perahsia. Dia sakit pun tak bagi tahu sesiapa kecuali orang yang rapat dengannya sahaja sebab dia tak mahu orang lain risau dan tak mahu menyusahkan sesiapa.

“Alhamdulillah, saya dapat bawa arwah pergi menunaikan umrah sempena hari kelahirannya 8 April lepas,” katanya dalam nada sebak kepada Bernama.

Rijalludin berkata sebelum Hamidah menghembuskan nafasnya yang terakhir, Allahyarham sempat memohon maaf kepada seluruh anggota keluarga dan rakan-rakannya.

Berasal dari Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah, Allahyarham turut meninggalkan anak lelaki, Mohd Arif, 14.

Allahyarham berkhidmat di Bernama sejak 1983.

Menurut Rijalludin, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Selangor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beranang petang ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Bernama, Mokhtar Hussain menyifatkan Allahyarham seorang yang peramah dan begitu disenangi rakan-rakannya.

“Arwah seorang yang mesra, ceria dan sangat berdedikasi dalam menjalankan segala tugasnya dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.