Operasi Cari Pasangan Suami Isteri Masih Diteruskan

Kuala Lumpur – Operasi mencari dan menyelamat pasangan suami isteri yang hilang setelah bot yang dinaiki mereka terbalik di Kampung Geliga Che Akob masih diteruskan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 11, Kuala Terengganu, Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi The Rakyat Post memberitahu, usaha menyelamat kini dimulakan semula di kawasan kejadian di Kampung Geliga Che Akob hingga ke pesisir Pantai Teluk Mak Nik.

Operasi pencarian itu katanya turut melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Operasi mencari dimulakan sejak jam 7 pagi tadi. Hari ini kita meminta bantuan pasukan Maritim yang akan berada di kawasan persisiran pantai.

“Manakala anggota bomba dan pasukan skuba akan melakukan selaman di lokasi kejadian bagi mengesan mangsa di dasar sungai manakala anggota polis akan mencari di bahagian tebing sepanjang Sungai Kemaman,” katanya.

Dalam operasi hari ini, seramai 60 orang anggota dikerah ke tempat kejadian dengan empat buah bot bomba dan dua bot APMM.

Menurut Azmi, arus sungai masih lagi deras di bahagian hulu dan hujan masih berterusan sejak malam tadi.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari Rabu lalu, Nur Hayati Sulong yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga bersama suaminya, Suhaimi Awang hilang selepas bot penyelamat yang dinaiki bersama tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta tiga lagi mangsa banjir, terbalik dan karam.

Kejadian itu berlaku ketika proses memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan dan semua anggota serta mangsa memakai jaket keselamatan, selain mengikut prosedur ditetapkan.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, bot yang dinaiki mereka terperangkap dalam pusaran air dan menyebabkan bot yang dinaiki tiga anggota bomba dan lima mangsa banjir itu terbalik,” katanya.

Menurutnya, tiga anggotanya cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa, namun arus terlalu deras, manakala tiga lagi mangsa berjaya berenang ke tebing. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.