Lelaki Mengamuk Nak Jumpa MB Selangor Untuk Serah Ayam

Shah Alam – Demonstrasi bantahan projek ladang babi oleh sekumpulan hampir 50 penduduk Kampung Tumbuk di perkarangan Bangunan SUK, di sini, pagi tadi bertukar kecoh, apabila salah seorang daripada mereka cuba mencetuskan provokasi kepada pasukan pengawal dan pegawai polis.

Lelaki berkenaan yang menutup keseluruhan muka, pada mulanya merempuh masuk ke dalam pagar dengan membawa dua ekor ayam mutiara, atas alasan untuk diserahkan kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun ketika diberitahu oleh pengawal bahawa Azmin tiada di pejabat dan sedang dalam penerbangan ke Kelantan, beliau bertindak agak agresif sambil berulang kali melaungkan kalimah syahadah.

Lelaki berkenaan juga berulang kali melaungkan pertanyaan “mana MB” sambil menggenggam tangan beberapa pengawal dan pegawai polis yang bertugas termasuk setiausaha akhbar Azmin, Radzi Razak.

Keadaan bagaimanapun kembali terkawal setelah beliau berjaya dipujuk oleh pegawai polis dan beberapa penduduk yang menyertai demonstrasi itu, yang kemudian diiring ke luar pagar.

Terdahulu, kumpulan penduduk berkenaan mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandum bagi membantah projek ternakan babi moden di Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat.

Wakil penduduk yang dikenali sebagai Hanapiah Mohamad berkata, penduduk tidak menghalang kerajaan negeri untuk melaksanakan projek ternakan berkenaan, namun merayu agar lokasinya dipindahkan ke tempat lain memandangkan tapak cadangan projek itu terlalu berdekatan dengan kawasan perumahan.

Katanya, walaupun kerajaan negeri memberi jaminan bahawa projek ternakan itu menggunakan teknologi moden, namun katanya, mereka khuatir ia mengundang risiko penyakit berbahaya, selain bau yang kurang menyenangkan.

“Siapa kata (teknologi) canggih tidak berbau? Tandas canggih pun kalau buang air besar tetap ada bau. Kesimpulannya, teknologi dari Jerman itu kita setuju tapi penempatan (lokasi) itu tidak sesuai sebab berdekatan dengan kampung.

“Kalau boleh, pindahkan tempat lain…jauh daripada penempatan. Jangan cakap tiada risiko. Nanti kalau dah terkena (virus) JE dan Nipah, semuanya sudah terlambat,” ujar beliau.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Radzi Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.