Kerajaan Jamin Bekalan Makanan Mencukupi Untuk Mangsa Banjir

Kota Baharu – Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan dan aset untuk menghantar bekalan itu kepada mangsa banjir di Kelantan mencukupi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bekalan makanan itu diperoleh dari negeri lain yang tidak terbabit banjir, termasuk di Kuala Lumpur.

“Bekalan makanan ini diangkut ke Kelantan menggunakan jalan darat iaitu melalui Jalan Lipis-Gua Musang, dan helikopter bagi kawasan yang laluan darat terputus akibat banjir,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Setakat pagi ini, lebih 32,000 mangsa ditempatkan di 163 pusat pemindahan di sembilan jajahan di negeri ini sejak gelombang kedua bencana itu melanda Kelantan 16 Dis lepas.

Shahidan berkata kerajaan menggunakan aset pengangkutan milik pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Bagi kawasan yang terputus bekalan makanan dan tidak boleh sampai dengan kenderaan darat, pihak kita telah menggunakan bot dan helikopter dan dengan keadaan cuaca yang baik telah berjaya menghantar makanan kepada mangsa-mangsa yang terperangkap termasuk di beberapa lokasi di Kuala Krai,” kata Shahidan.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah dengan segera sebelum bencana itu menjadi buruk hingga menyukarkan kerja menyelamat.

Beliau juga meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak benar mengenai bencana tersebut kerana ia menyusahkan semua pihak termasuk pasukan penyelamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.